
KUALA LUMPUR - Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat mengesahkan pihaknya mempunyai maklumat awal berhubung kegiatan mengatur kaunter atau counter setting di sempadan Malaysia-Thailand.
Beliau berkata kegiatan seumpama itu amat membimbangkan terutama selepas berjaya menembusi kawalan keselamatan di kawasan berteknologi tinggi seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Saya risau tempat seperti KLIA yang ada CCTV (kamera litar tertutup) ketat pun boleh ada counter setting, apatah lagi pangkalan di tepi Sungai Golok yang panjang dan terbuka.
“Saya ada maklumat (mengatur kaunter di sempadan negara) cuma tunggu masa. Saya beri amaran dulu kepada mereka yang buat dan saya tidak teragak-teragak, kami akan tangkap tidak kira anggota PGA (Pasukan Gerakan Am) ke atau sesiapa sahaja,” katanya lapor Bernama.
Mohd Yusoff menyifatkan individu yang terlibat dengan kegiatan itu sebagai pengkhianat negara dan mereka sedang berada dalam 'radar' pihaknya.
“Bila saya bercakap, saya ada maklumat maksudnya memang ada (mengatur kaunter), insya-Allah kami akan buat tangkapan,” katanya.
Dalam laporan Bernama 24 Julai lalu, seorang pegawai penguat kuasa ditahan di KLIA, Terminal 1, kerana disyaki terlibat dalam kegiatan salah laku mengatur kaunter.
Sehubungan itu, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam kenyataan memaklumkan pegawai penguat kuasa itu ditahan Unit Pemantau dan Unit Integriti AKPS selepas rakaman CCTV menunjukkan tingkah laku mencurigakan pegawai terbabit di kaunter pemeriksaan masuk.
Sementara itu, Mohd Yusoff berkata sejak beliau mengisytiharkan larangan rentas sempadan melalui jalan yang tidak diwartakan di sepanjang Sungai Golok, keadaan keselamatan di kawasan berkenaan kekal terkawal hasil pemantauan harian oleh Cawangan Khas.
Tindakan itu katanya, turut membawa kesan positif apabila kemasukan rakyat Malaysia ke Thailand secara haram menurun hampir 90% berbanding penguatkuasaan sebelum ini.
Hasil maklumat daripada rakan sejawatan di selatan Thailand menunjukkan penurunan ketara aktiviti di sempadan, termasuk kira-kira 85% pusat hiburan di Sungai Golok di selatan Thailand yang dilaporkan telah berkurangan, malah banyak premis perniagaan di kawasan itu turut ditutup, katanya. - 12 Oktober, 2025
The post Wujud kegiatan ‘counter setting’ di sempadan Kelantan-Thailand: Polis appeared first on Scoop.

