
LAHAD DATU: Polis menahan dua individu, kedua-duanya warga asing, yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran serta penyalahgunaan dadah di daerah ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Supt. Jimmy Panyau berkata suspek pertama ditahan pada 8 Oktober susulan operasi di kawasan Kampung Teliwas.
“Ketika operasi anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik mengesan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan lalu menghampirinya. Apabila didekati, suspek cuba melarikan diri namun berjaya ditahan oleh pasukan terbabit dan hasil pemeriksaan menemukan satu bungkusan plastik berlabel ‘Power Strip High Grade’ yang mengandungi plastik lut sinar berisi bahan disyaki syabu seberat 51.43 gram. Suspek berusia 44 tahun itu juga didapati positif amfetamina dan metamfetamina,” katanya.
Menurut Jimmy, dalam serbuan kedua pada jam 11.50 malam hari sama, pasukan berkenaan menahan seorang lagi lelaki berusia 41 tahun di Jalan Silabukan.
“Hasil pemeriksaan terhadap suspek menemukan plastik lut sinar berisi bahan disyaki syabu seberat 6.48 gram. Suspek turut disahkan positif dadah. Keseluruhan rampasan melibatkan 57.91 gram syabu dianggarkan bernilai RM6,370.10.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” tambahnya.


