Wujudkan sistem amaran pesalah keganasan rumah tangga - Wanita MCA

LocalPolitics
30 Apr 2026 • 3:54 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Wujudkan sistem amaran pesalah keganasan rumah tangga - Wanita MCA
Wanita MCA mencadangkan kerajaan mewujudkan sistem amaran dan pangkalan data khas bagi merekod pesalah keganasan rumah tangga. Gambar kecil: Quin Er

SHAH ALAM – Wanita MCA mencadangkan kerajaan mewujudkan sistem amaran dan pangkalan data khas bagi merekod pesalah keganasan rumah tangga.

Setiausaha Agungnya, Chan Quin Er berkata, ia sebagai langkah menghalang pelaku berulang terus memburu serta mendera wanita lain susulan satu kes keganasan rumah tangga di Kedah.

Menurutnya, mekanisme pemantauan lebih ketat itu perlu melibatkan individu yang mempunyai rekod keganasan rumah tangga manakalan pangkalan data yang disyorkan pula boleh dihubungkan dengan agensi berkaitan seperti polis dan jabatan agama.

Kata beliau, individu yang mempunyai rekod keganasan rumah tangga juga mesti dikenakan hukuman lebih berat kerana cenderung mengulangi jenayah dan membahayakan orang lain selain pelaksanaan hukuman penjara terhadap pelaku tidak boleh ditangguhkan.

“Kerajaan perlu mempercepatkan arahan perlindungan untuk mangsa. Ramai mangsa gagal mendapatkan perlindungan segera kerana proses birokrasi yang lambat.

"Prosedur ini mesti dipermudah dan dipercepatkan agar mangsa dapat dilindungi sebaik sahaja laporan dibuat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada masa sama, beliau menyarankan kerajaan memperluaskan bantuan kepada mangsa seperti rumah perlindungan wanita, bantuan guaman, kaunseling, bantuan kewangan dan talian kecemasan yang responsif.

"Ini penting supaya wanita di luar sana tahu ke mana harus di tuju tanpa rasa takut untuk keluar daripada hubungan toksik," jelasnya.

Pada Rabu, Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah mendedahkan, suspek kes memukul isteri hingga parah dan mengalami keguguran di Bandar Amanjaya, Alor Setar, minggu lalu dipercayai mempunyai sejarah perkahwinan sehingga sembilan kali serta memiliki 11 anak.

Menurutnya, lelaki berusia 43 tahun itu juga dipercayai masih mempunyai tiga isteri dengan perkahwinan terbaharu bersama mangsa dilakukan di Selatan Thailand.

Kata beliau, siasatan mendapati suspek mempunyai modus operandi tersendiri dengan menyasarkan wanita yang mempunyai pekerjaan tetap, khususnya penjawat awam.

Mengulas lanjut, Quin Er berkata, pihaknya memandang serius dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan kejam lelaki terbabit apatah lagi suspek mempunyai sejarah keganasan rumah tangga terhadap isteri, keganasan terhadap teman wanita serta rekod jenayah lampau.

Beliau menegaskan, kes itu jelas menunjukkan kegagalan sistem perlindungan sedia ada dalam menghalang pelaku daripada terus memburu dan mendera wanita.

“Isu keganasan rumah tangga bukan ‘hal keluarga’ semata-mata, sebaliknya jenayah serius yang boleh meragut nyawa.

"Kita tidak boleh terus membiarkan wanita hidup dalam ketakutan sedangkan pelaku bebas mengulangi kejahatannya terhadap mangsa baharu,” ujarnya.

Untuk rekod, satu lagi kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan di Johor pada 2021 membabitkan mangsa sedang mengandung, Jahidah Nordin@Sylvester yang mana suspek didakwa memukul isterinya sehingga mengalami kecederaan parah.

Ia termasuk pendarahan otak, menyebabkan sebahagian tengkoraknya terpaksa dibuang, selain rahang, tulang belakang dan rusuk retak.

Justeru, Quin Er turut mengingatkan kaum wanita agar tidak memandang ringan tanda-tanda awal penderaan dalam hubungan kerana jika dibiarkan, ia akan menjadi lebih buruk dan memudaratkan.

“Wanita MCA juga menyeru masyarakat supaya berhenti menyalahkan mangsa semata-mata. Mangsa keganasan rumah tangga berdepan tekanan emosi, ketakutan dan manipulasi psikologi yang menyebabkan mereka sukar keluar daripada hubungan toksik.

"Mereka memerlukan sokongan yang benar-benar membantu mereka membina semula kehidupan," sarannya.

Tegas beliau lagi, Malaysia seharusnya mempunyai sistem yang benar-benar melindungi mangsa keganasan rumah tangga, bukan sekadar bertindak selepas tragedi berlaku.

"Kami juga berharap siasatan dijalankan secara menyeluruh dan pelaku dikenakan tindakan setimpal mengikut undang-undang kerana keselamatan wanita mesti diutamakan,” tambahnya.

Katanya lagi, Wanita MCA melalui Pusat Khidmat Guaman dan Bantuan Wanita (LAWA) menyediakan bantuan guaman sehenti, nasihat undang-undang dan kaunseling percuma kepada wanita teraniaya dengan fokus diberikan kepada kes keganasan rumah tangga, sivil serta keluarga.