XI, Trump bincang hubungan dua hala melalui panggilan telefon

WorldPolitics
6 Jun 2025 • 3:03 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

BEIJING: Presiden China Xi Jinping dan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengadakan perbualan melalui panggilan telefon pada Khamis.

Xi berkata, kedua-dua pihak perlu memanfaatkan mekanisme rundingan ekonomi dan perdagangan yang telah dibina, mengutamakan prinsip kesamarataan, menghormati keprihatinan masing-masing, serta berusaha mencapai situasi menang-menang.

Beliau memaklumkan bahawa selepas rundingan ekonomi dan perdagangan China-AS diadakan di Geneva, China melaksanakan hasil rundingan itu dengan bersungguh-sungguh.

Justeru, Xi menasihatkan AS supaya melihat kemajuan itu secara realistik dan menarik balik langkah-langkah negatif yang dikenakan terhadap China.

Xi turut menekankan bahawa AS harus mengendalikan isu Taiwan dengan berhati-hati bagi mengelakkan kedua-dua negara daripada terjerumus ke dalam konfrontasi dan konflik yang berbahaya.

Sementara itu, Trump menyatakan bahawa beliau amat menghormati Xi dan mengakui hubungan AS-China sebagai amat penting.

AS gembira melihat perkembangan pesat ekonomi China dan percaya kedua-dua negara boleh mencapai banyak kejayaan sekiranya bekerjasama, kata Trump.

Pemimpin AS itu menegaskan bahawa negaranya akan terus berpegang kepada dasar satu China.

Beliau turut memaklumkan bahawa rundingan ekonomi dan perdagangan AS-China di Geneva berjaya mencapai hasil yang memuaskan, dan AS bersedia bekerjasama dengan China untuk melaksanakan perjanjian yang dicapai.

Selain itu, Trump berkata AS mengalu-alukan kehadiran pelajar dari China untuk melanjutkan pengajian di AS.