Xiaomi 13 Ultra baru sahaja dilancarkan di Malaysia tetapi sedikit mengecewakan kerana kit fotografi berwarna hijau yang dilancarkan di China tidak pula ditawarkan untuk pasaran tempatan. Minggu ini sekali lagi di China Xiaomi 13 Ultra Photography Kit berwarna putih telahpun dilancarkan.

Ia kit yang sama cuma berwarna putih membuatkannya kelihatan lebih bergaya. Ia terdiri daripada kerangka 13 Ultra yang mempunyai butang pengatup kamera, butang zum, lubang tali lanyard dan lubang untuk cagak tripod. Turut diberikan ialah penuras lensa 67mm.

Seperti kit terdahulu, tubuh kerangka ini diperbuat daripada bahan kulit vegan dengan tekstur seakan pada kamera keluaran Leica. Di China kit fotografi ini dijual pada harga RMB999 (~RM645) untuk satu set.

