Xiaomi 18 Pro Series Tampil Dengan Kamera Leica 200MP, Bateri Sehingga 7,050mAh & Skrin Belakang Yang Menawan!

TechnologyDigital
19 Nov 2026 • 8:52 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Xiaomi 18 Pro Series Tampil Dengan Kamera Leica 200MP, Bateri Sehingga 7,050mAh & Skrin Belakang Yang Menawan!

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Semalam (18 Nov) Xiaomi telah memperkenalkan siri telefon pintar flagship terbaharunya, Xiaomi 18 Pro Series yang terdiri daripada Xiaomi 18 Pro dan Xiaomi 18 Pro Max di Malaysia, dengan mengetengahkan sistem kamera Leica Dual-200MP, paparan belakang interaktif serta pelbagai ciri berasaskan kecerdasan buatan (AI).

Barisan terbaharu itu turut dilengkapi platform mudah alih Snapdragon 8 Elite Extreme Gen 6 dan Snapdragon 8 Elite Gen 6, teknologi paparan Xiaomi Privacy Display dengan HyperRGB 2.0 serta sistem operasi Xiaomi HyperOS 4.

Antara tarikan utama yang diperkenalkan ialah Back Display, iaitu paparan tambahan pada bahagian belakang telefon yang menawarkan pengalaman penggunaan baharu merangkumi fotografi, produktiviti dan kreativiti.

Back Display tawar pengalaman baharu menerusi AI

Menerusi Back Display, pengguna boleh memanfaatkan kamera belakang untuk mengambil swafoto, gambar berkumpulan dan merakam video dengan bantuan paparan pratonton masa nyata.

Untuk gambar berkumpulan, sistem kamera akan bertukar secara automatik kepada mod ultra lebar apabila mengesan lebih daripada tiga individu bagi memastikan semua orang dapat dimuatkan dalam bingkai.

Pengguna juga boleh merakam video sehingga resolusi 8K pada 30fps menggunakan kamera belakang, sekali gus memudahkan penghasilan kandungan vlog berkualiti tinggi.

Dari segi reka bentuk, Back Display menggunakan panel M11 yang sama seperti skrin utama dengan kecerahan puncak berbilang senario sehingga 4,000 nits serta kadar segar semula LTPO 1-120Hz.

Kedua-dua paparan dan kamera turut ditempatkan di bawah satu lapisan kaca menerusi reka bentuk Unified Underglass bagi menghasilkan kemasan lebih kemas dan lancar, selain perlindungan Corning Gorilla Glass Victus 2.

Selain fotografi, skrin belakang itu turut memaparkan notifikasi panggilan, peta, perkhidmatan e-hailing dan kemas kini maklumat lain.

Fungsi Pin to Back Display pula membolehkan pengguna menyemat teks dan imej seperti pas masuk penerbangan serta kod QR untuk rujukan pantas.

Dari segi AI, fungsi AI Interpreter membolehkan kedua-dua skrin digunakan sebagai alat terjemahan masa nyata dalam 29 bahasa, dengan bahasa setiap individu dipaparkan pada skrin masing-masing ketika perbualan bersemuka.

Turut diperkenalkan ialah GenAI Apps yang membolehkan pengguna menghasilkan aplikasi mini hanya dengan menerangkan idea menggunakan bahasa semula jadi.

Lebih 50 aplikasi tersedia sebagai pilihan permulaan, termasuk peralatan praktikal dan permainan mini yang boleh disesuaikan dengan fungsi Back Display.

Pengguna juga boleh menghasilkan gambar gabungan bersama haiwan peliharaan, selebriti atau watak fiksyen menerusi AI Group Photo Wallpapers sebelum menetapkannya sebagai kertas dinding skrin belakang.

Kamera Leica Dual-200MP untuk fotografi lebih terperinci

Dari segi fotografi, Xiaomi 18 Pro Series hadir dengan sistem kamera Leica Dual-200MP hasil kerjasama berterusan Xiaomi dan Leica yang kini memasuki tahun kelima.

Sistem itu menggabungkan sensor kamera utama bersaiz 1/1.28 inci dan sensor telefoto periskop bersaiz 1/1.56 inci bagi menghasilkan imej dengan perincian lebih jelas, termasuk ketika gambar dipotong atau dizum.

Kamera utama menggunakan Leica UltraPure Optical Design bersama lensa Leica Summilux f/1.67 bagi menghasilkan imej tajam dengan warna lebih semula jadi.

Bagi kamera telefoto, Xiaomi memperkenalkan modul Power Prism periskop yang menggabungkan fungsi pembiasan cahaya dan pemfokusan dalam satu komponen optik.

Menurut Xiaomi, reka bentuk itu membolehkan kamera menangkap 177 peratus lebih banyak cahaya berbanding model Pro Max lain di pasaran.

Bagi Xiaomi 18 Pro Max, kamera utama turut menggunakan sensor Light Fusion 960L yang menawarkan julat dinamik tinggi 16.2EV bagi menghasilkan gambar lebih baik dalam keadaan pencahayaan dari belakang.

Kamera telefoto periskop 200MP pula menawarkan jarak fokus daripada 75mm untuk fotografi potret sehingga zum bertaraf optik 150mm, dengan sokongan telemakro 12cm bagi merakam tekstur dan perincian objek dari jarak dekat.

Selain peningkatan perkakasan, Xiaomi turut memperkenalkan Essential Moment yang menawarkan tiga gaya fotografi iaitu B&W Film, Iconic CCD dan Modern Vintage.

B&W Film menghasilkan imej monokrom dengan kedalaman tona klasik, manakala Iconic CCD menampilkan warna lebih terang dan tepu seperti kamera digital CCD terdahulu.

Modern Vintage pula menawarkan tona lebih lembut dengan perincian semula jadi untuk menghasilkan imej berpenampilan klasik.

Pengguna juga boleh menghasilkan gambar dengan karakter optik menyerupai dua lensa klasik iaitu 35mm Documentary dan 75mm Portrait yang menampilkan kesan bokeh lembut.

Menerusi Xiaomi Creativity Assistant, fungsi AI Portrait Fill Light boleh membantu mencerahkan wajah dalam keadaan pencahayaan dari belakang, manakala Xiaomi ProCut mencadangkan pembingkaian dan komposisi gambar ketika sesi fotografi.

Selepas gambar diambil, fungsi AI Composition pula menganalisis imej secara automatik sebelum mencadangkan potongan gambar yang lebih sesuai.

Untuk rakaman video, siri ini menyokong rakaman sehingga 4K pada 120fps dengan Dolby Vision, 10-bit Log serta 8K pada 30fps.

Cip Snapdragon baharu dengan prestasi lebih berkuasa

Xiaomi 18 Pro Series turut mencatatkan kemunculan pertama global platform mudah alih Snapdragon 8 Elite baharu menerusi dua konfigurasi berbeza.

Xiaomi 18 Pro Max menggunakan Snapdragon 8 Elite Extreme Gen 6, manakala Xiaomi 18 Pro dilengkapi Snapdragon 8 Elite Gen 6.

Kedua-dua cip dibangunkan menggunakan proses pembuatan 2nm TSMC dengan seni bina transistor Gate-All-Around (GAA) yang direka untuk meningkatkan kecekapan penggunaan kuasa dan mengurangkan penghasilan haba ketika menjalankan tugasan berat.

Cip berkenaan menggunakan CPU Qualcomm Oryon yang terdiri daripada dua teras utama dan enam teras prestasi, termasuk teras mudah alih utama pertama di dunia yang mencapai kelajuan sehingga 5GHz menurut Xiaomi.

Berdasarkan perbandingan Xiaomi dengan generasi sebelumnya, Snapdragon 8 Elite Extreme Gen 6 menawarkan peningkatan prestasi CPU sehingga 13 peratus, GPU sehingga 44 peratus dan NPU sehingga 35 peratus.

Keupayaan pemprosesan AI yang dipertingkatkan pada kedua-dua model turut membolehkan lebih banyak tugasan AI dijalankan terus pada peranti, termasuk terjemahan luar talian dan fungsi penulisan.

Bagi Xiaomi 18 Pro Max, teknologi Offset Packaging turut diperkenalkan dengan laluan haba tembaga terus dari cip pemproses kepada ruang penyejukan wap (vapor chamber).

Sistem itu digabungkan dengan teknologi penyejukan Xiaomi 3D IceLoop generasi baharu yang menurut Xiaomi menawarkan peningkatan kecekapan penyejukan sehingga 50 peratus.

Gabungan teknologi pemprosesan dan penyejukan itu membolehkan Xiaomi 18 Pro Max mencatatkan skor penanda aras AnTuTu sebanyak 5,031,155 berdasarkan ujian yang dinyatakan syarikat.

Bateri silikon-karbon sehingga 7,050mAh

Dari segi kapasiti bateri, Xiaomi 18 Pro Max dilengkapi bateri silikon-karbon berkapasiti 7,050mAh, manakala Xiaomi 18 Pro menggunakan bateri 6,000mAh.

Menurut Xiaomi, bateri berkenaan menggunakan kandungan silikon sebanyak 28 peratus bagi meningkatkan kapasiti dengan penggunaan ruang dalaman yang lebih cekap.

Xiaomi 18 Pro Max menyokong pengecasan berwayar 100W HyperCharge dan pengecasan tanpa wayar 50W HyperCharge.

Sementara itu, Xiaomi 18 Pro menawarkan pengecasan berwayar 90W serta pengecasan tanpa wayar 50W HyperCharge.

Paparan lebih terang dengan teknologi perlindungan privasi

Xiaomi 18 Pro Series turut memperkenalkan teknologi Xiaomi HyperRGB 2.0 yang menggunakan struktur piksel bebas, dengan setiap piksel mengandungi subpiksel merah, hijau dan biru (RGB) sepenuhnya.

Teknologi itu direka untuk meningkatkan ketajaman paparan serta kecekapan penggunaan kuasa.

Kedua-dua model menawarkan kecerahan puncak berbilang senario sehingga 4,000 nits, gamut warna BT.2020 serta pensijilan TÜV Rheinland Triple Eye Care.

Satu lagi ciri yang menjadi perhatian ialah Xiaomi Privacy Display dengan Privacy Mode yang direka untuk melindungi kandungan skrin daripada dilihat individu di sekeliling pengguna.

Teknologi itu menggunakan piksel privasi khusus dengan sudut pandangan lebih sempit bagi mengehadkan kebolehlihatan paparan dari sisi apabila mod berkenaan diaktifkan.

Menariknya, Privacy Mode boleh ditetapkan untuk aplikasi tertentu, notifikasi, tetingkap terapung dan paparan skrin berpecah.

Fungsi Privacy Notice pula mampu mengesan kehadiran individu yang melihat skrin dari sisi sebelum memberikan amaran menerusi getaran atau Xiaomi HyperIsland.

Pengguna juga boleh mengaktifkan Privacy Mode dengan pantas menggunakan butang AI yang boleh disesuaikan pada bahagian sisi telefon.

Teknologi perlindungan privasi itu turut disokong pensijilan TÜV Rheinland Effective Screen Privacy Protection.

Reka bentuk premium dengan empat pilihan warna

Xiaomi 18 Pro Series ditawarkan dalam dua saiz berbeza mengikut keperluan pengguna.

Xiaomi 18 Pro hadir dengan paparan utama 6.4 inci dan lebar badan 72mm bagi memudahkan penggunaan menggunakan sebelah tangan.

Sementara itu, Xiaomi 18 Pro Max menawarkan paparan lebih besar berukuran 6.9 inci yang memberikan ruang lebih luas untuk menonton video, bermain permainan dan melakukan pelbagai tugasan serentak.

Kedua-dua model mempunyai bezel simetri setebal 0.99mm pada keempat-empat sisi skrin menerusi penggunaan teknologi pembungkusan LIPO.

Siri ini ditawarkan dalam empat pilihan warna iaitu Black, White, Cosmic Blue dan Velvet Red.

Warna Velvet Red menampilkan tona merah lebih mendalam dengan tekstur yang memberikan penampilan premium.

HyperOS 4 dengan integrasi AI dan ekosistem lebih luas

Xiaomi 18 Pro Series menjalankan sistem operasi Xiaomi HyperOS 4 yang dibangunkan berasaskan tiga teras utama iaitu prestasi lebih lancar, reka bentuk lebih menarik dan interaksi lebih mudah.

Dari segi prestasi, sistem itu menggunakan Xiaomi HyperCore dengan teknologi Precision Workload Scheduling dan Memory Preloading bagi mengoptimumkan kelancaran operasi serta pengurusan memori.

Dari segi reka bentuk, HyperOS 4 memperkenalkan tekstur kaca soft light, kesan pencahayaan interaktif dan kedalaman ruang adaptif, selain pilihan penyesuaian skrin kunci serta susunan notifikasi.

Sementara itu, Xiaomi Smart Hub membolehkan pengguna menyemat peranti peribadi dan peralatan rumah pintar pada Control Center untuk akses lebih pantas.

Siri ini turut menyokong Google Gemini bagi membantu pengguna melaksanakan tugasan merentasi beberapa aplikasi menggunakan arahan bahasa semula jadi.

Fungsi Circle to Search with Google pula membolehkan pengguna mencari dan menterjemah kandungan yang dipaparkan pada skrin.

Selain itu, Xiaomi HyperAI menawarkan ciri seperti AI Voice Note untuk menukar idea yang dituturkan kepada nota, manakala AI Speech Recognition menyediakan rangka kandungan berserta cap masa dan ringkasan mesyuarat bagi memudahkan semakan semula.

Bagi Xiaomi 18 Pro Max, pengalaman penggunaan turut dipertingkat menerusi sistem pembesar suara tiga unit yang simetri serta motor getaran CyberEngine super-wideband X-axis.

Model itu juga dilengkapi Xiaomi Privacy Call yang menggunakan gelombang bunyi anti-fasa menerusi pembesar suara belakang bagi mengurangkan keboleh­dengaran perbualan telefon oleh individu berhampiran.

Harga dan tawaran tempahan awal di Malaysia

Bagi pasaran Malaysia, Xiaomi 18 Pro Series ditawarkan pada harga berikut:

Xiaomi 18 Pro

  • 12GB + 256GB: RM4,799 (harga promosi RM4,499).
  • 12GB + 512GB: RM5,299 (harga promosi RM4,999).

Xiaomi 18 Pro Max

  • 12GB + 256GB: RM5,999 (harga promosi RM5,499).
  • 12GB + 512GB: RM6,499 (harga promosi RM5,999).

Tempahan awal dibuka dari 18 hingga 26 November 2026 menerusi kedai Xiaomi di seluruh negara, laman rasmi mi.com serta kedai rasmi Xiaomi di Shopee, Lazada dan TikTok Shop.

Sepanjang tempoh berkenaan, pembeli yang layak berpeluang menikmati hadiah percuma Xiaomi Watch S5 46mm bernilai RM799, tertakluk kepada stok yang masih ada.

Tawaran lain termasuk diskaun sehingga RM500 serta penggantian sekali percuma bagi skrin utama, bateri, penutup belakang, skrin belakang atau lensa kamera.

Selain itu, pembeli di pasaran terpilih turut layak menikmati beberapa manfaat digital tanpa kos tambahan, termasuk percubaan Google AI Pro selama tiga bulan dengan akses lebih tinggi kepada ciri AI Google serta storan awan 5TB.

Pembeli juga boleh menikmati YouTube Premium selama tiga bulan yang menawarkan tontonan tanpa iklan dan muat turun luar talian, selain percubaan iQIYI Standard VIP selama 14 hari dengan penstriman HD 1080P dan tontonan tanpa gangguan iklan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved