
Berikutan pengumuman sebelum ini, Xiaomi Malaysia akhirnya melancarkan barisan telefon pintar terbaharu, iaitu Xiaomi 18 Pro dan Xiaomi 18 Pro Max untuk pasaran tempatan.
Siri flagship kali ini tampil lebih berkuasa dengan cip siri Snapdragon 8 Elite Gen 6, kamera ditala Leica yang dipertingkat dengan dua sensor 200MP, serta skrin Privacy Display pada tahap perkakasan. Malah, ia turut dilengkapi dengan skrin kedua di bahagian belakang yang boleh berfungsi untuk mengambil gambar dan memaparkan notifikasi.
Untuk pengetahuan anda, ini juga kali pertama Xiaomi membawa masuk model flagship Pro dengan skrin kedua di belakang untuk pasaran kita, selepas Xiaomi 17 Pro dan Pro Max ditawarkan secara eksklusif di China pada tahun lalu.
Harga dan ketersediaan Xiaomi 18 Pro dan 18 Pro Max di Malaysia

Xiaomi 18 Pro dan 18 Pro Max masing-masing ditawarkan dalam dua konfigurasi storan, dengan RAM 12GB sebagai standard. Berikut harga rasminya di Malaysia:
- Xiaomi 18 Pro (12GB + 256GB) – RM4,799
- Xiaomi 18 Pro (12GB + 512GB) – RM5,299
- Xiaomi 18 Pro Max (12GB + 256GB) – RM5,999
- Xiaomi 18 Pro Max (12GB + 512GB) – RM6,499
Kedua-dua model ada dalam empat pilihan warna: Black, White, Cosmic Blue dan Velvet Red.

Bagi pembeli awal, Xiaomi menawarkan promosi tempahan awal dari 18 hingga 26 November 2026, dengan diskaun sehingga RM800 di kedai dalam talian rasminya. Dengan itu, Xiaomi 18 Pro boleh dimiliki serendah RM3,999. Berikut harga promosi semasa tempoh tempahan awal:
- Xiaomi 18 Pro (12GB + 256GB) – RM3,999 (Jimat RM800)
- Xiaomi 18 Pro (12GB + 512GB) – RM4,999 (Jimat RM300)
- Xiaomi 18 Pro Max (12GB + 256GB) – RM5,499 (Jimat RM500)
- Xiaomi 18 Pro Max (12GB + 512GB) – RM5,999 (Jimat RM500)
Sepanjang promosi tempahan awal, Xiaomi turut menawarkan hadiah percuma bernilai RM4,598. Pembeli awal Xiaomi 18 Pro 512GB dan Xiaomi 18 Pro Max 256GB/512BG bakal mendapat hadiah percuma berupa jam Xiaomi Watch S5 bernilai RM799.
Xiaomi juga menawarkan beberapa faedah selepas jualan tambahan: satu penggantian skrin utama percuma dalam tempoh 24 bulan, satu penggantian bateri percuma dalam tempoh 36 bulan, dan satu penggantian percuma bagi penutup belakang, skrin belakang atau kamera dalam tempoh 24 bulan.
Kalau berminat, tempahan boleh dibuat di kedai Xiaomi di seluruh negara, laman web rasmi Xiaomi Malaysia, serta kedai rasminya di Shopee, Lazada dan TikTok Shop.

Bagi pembelian di Kedai Xiaomi, pelanggan turut boleh menikmati ansuran faedah 0% sehingga 36 bulan dan rebat tukar beli tambahan sehingga RM700.
Terdapat juga program baharu Upgrade+ bersama remobie, yang menawarkan nilai baki terjamin sehingga 50% daripada harga runcit disyorkan asal apabila pelanggan menaik taraf peranti mereka pada tahun berikutnya. Tawaran ini terhad kepada 1,500 pelanggan pertama.
Secara berasingan, CelcomDigi menawarkan tawaran tempahan awal eksklusif bernilai sehingga RM4,045, termasuk hadiah percuma terpilih, sehingga tiga bulan perkhidmatan pascabayar percuma pada Easy360, bonus tukar beli RM300 dan diskaun 50% untuk perlindungan PhoneCARE.
Spesifikasi Xiaomi 18 Pro Max

Xiaomi 18 Pro Max ialah model yang lebih besar dan lebih berkuasa dalam siri ini. Ia menggunakan paparan LTPO 6.9″ dengan teknologi Xiaomi HyperRGB 2.0, kadar segar semula adaptif 1 hingga 120Hz dan kecerahan puncak sehingga 4,000 nits.
Salah satu ciri utamanya ialah Xiaomi Privacy Display pada perkakasan paparannya. Teknologi ini berfungsi dengan membolehkan piksel skrin standard dimatikan, manakala piksel privasi khusus dengan sudut tontonan yang lebih sempit kekal menyala, sekali gus mengurangkan keterlihatan skrin daripada pandangan sisi.

Pengguna boleh menetapkan Privacy Mode pada aplikasi tertentu, notifikasi mahupun tetingkap terapung (floating windows). Turut disertakan adalah ciri Privacy Notice yang mampu mengesan individu berdekatan yang cuba mengintai skrin dan memberikan amaran kepada pengguna. Xiaomi juga melengkapkan peranti ini dengan butang AI di bahagian sisi yang boleh disesuaikan untuk mengaktifkan mod privasi tersebut.
Di bahagian belakang, Xiaomi 18 Pro mempunyai paparan sekunder AMOLED 2.9″ yang menyokong kadar segar semula adaptif 1 hingga 120Hz dan kecerahan puncak sehingga 4,000 nits. Dilindungi Corning Gorilla Glass Victus 2, skrin belakang ini boleh digunakan sebagai viewfinder untuk mengambil gambar dan merakam video menggunakan kamera belakang.

Bukan setakat itu, skrin ini juga boleh memaparkan notifikasi, maklumat navigasi, kemas kini perkhidmatan e-hailing, serta dilengkapi fungsi Pin to Back Display membolehkan pengguna pin teks atau gambar untuk rujukan pantas, seperti pas masuk penerbangan dan kod QR. Xiaomi turut memperkenalkan aplikasi GenAI Apps, yang membolehkan pengguna mencipta aplikasi mini ringkas untuk skrin belakang dengan menaip arahan menggunakan bahasa semula jadi.
Peningkatan prestasi terbesar ialah pada cip. Xiaomi 18 Pro Max diperkasa cip Snapdragon 8 Elite Extreme Gen 6 terbaharu, yang dihasilkan menggunakan proses 2nm TSMC. Cip ini menampilkan dua CPU dengan dua teras utama dan enam teras prestasi, menawarkan kelajuan sehingga 5GHz di samping GPU berprestasi tinggi Adreno 850. Untuk pasaran Malaysia, ia dilengkapi RAM LPDDR5X 12GB dan pilihan storan UFS 4.1 256GB atau 512GB.
Xiaomi turut melengkapkan Pro Max dengan teknologi Offset Packaging yang menyediakan saluran haba kuprum terus dari cip pemproses ke kebuk wap (vapour chamber), di samping sistem penyejukan 3D IceLoop generasi seterusnya yang menawarkan penyejukan lebih cekap sehingga 50%. Menurut Xiaomi, pengoptimuman pemprosesan dan termal ini membenarikan Xiaomi 18 Pro Max mencapai skor penanda aras AnTuTu setinggi 5,031,155.

Untuk fotografi, Xiaomi 18 Pro Max mempunyai tiga kamera belakang ditala Leica dengan dua sensor 200MP. Kamera utamanya ialah 200MP Light Fusion 960L yang dinaik taraf, dengan sensor 1/1.28 inci, lensa Leica Summilux f/1.67 dan OIS. Sensor ini turut dilengkapi teknologi LOFIC HDR, dan Xiaomi mendakwa ia boleh menangkap julat dinamik sehingga 16.2EV.
Terdapat juga kamera telefoto periskop 200MP dengan sensor Samsung HP5 1/1.56 inci, apertur f/2.4 dan OIS. Ia menawarkan jarak fokus setara 75mm, menyokong zum optikal 150mm dan fotografi telemakro dari jarak 12cm. Melengkapkan susunan kamera belakang ialah kamera ultralebar 50MP dengan apertur f/2.4 dan sudut pandangan 102 darjah.

Untuk swafoto, Xiaomi 18 Pro Max mempunyai kamera depan 50MP dengan apertur f/2.2. Untuk rakaman video, kamera belakang menyokong sehingga 8K pada 30fps dan 4K Dolby Vision pada 120fps, manakala kamera depan boleh merakam video 4K Dolby Vision sehingga 60fps.
Xiaomi 18 Pro Max menggunakan bateri silikon-karbon 7,050mAh, yang menyokong HyperCharge berwayar 100W dan HyperCharge tanpa wayar 50W. Selain itu, ia dilengkapi sistem tiga speaker simetri dan Xiaomi Privacy Call, yang menggunakan gelombang bunyi antifasa untuk mengurangkan kebocoran suara semasa melakukan panggilan.
Spesifikasi Xiaomi 18 Pro

Xiaomi 18 Pro ialah pilihan yang lebih kompak. Seperti Pro Max, ia menggunakan paparan LTPO OLED dengan teknologi Xiaomi HyperRGB 2.0, tetapi lebih kecil pada 6.4 inci. Seperti model Pro Max, ia turut menyokong kadar segar semula adaptif 1-120Hz, kecerahan puncak 4,000 nits serta ciri Xiaomi Privacy Display berasaskan perkakasan.
Di bahagian belakangnya juga terdapat skrin kedua AMOLED dengan kadar segar semula 120Hz, kecerahan puncak 4,000 nits, tetapi bersaiz lebih kecil 2.7″. Ia turut didlindungi kaca Corning Gorilla Glass Victus 2, dan menawarkan fungsi sama dengan 18 Pro Max, termasuk boleh digunakan sebagai viewfinder, memaparkan notifikasi, maklumat navigasi dan e-hailing, serta menyokong ciri GenAI Apps bagi mencipta aplikasi mini ringkas menggunakan arahan bahasa semula jadi.

Dari segi prestasi, Xiaomi 18 Pro dikuasakan Snapdragon 8 Elite Gen 6, yang juga dihasilkan menggunakan proses 2nm TSMC. Pemproses ini turut mempunyai CPU dengan dua teras utama dan enam teras prestasi berkelajuan sehingga 5GHz. Bezanya, berbanding Adreno 850, ia menggunakan GPU Adreno 845.
Di jabatan pengimejan, Xiaomi 18 Pro masih mengekalkan tetapan trikamera Leica dengan dua sensor 200MP. Perbezaannya terletak pada kamera utama 200MP yang menggunakan sensor Light Fusion 960 bersaiz 1/1.28 inci dengan lensa Leica Summilux f/1.67 dan OIS, tanpa teknologi LOFIC HDR seperti pada varian Pro Max.

Kamera telefoto periskop 200MP, kamera ultralebar 50MP dan kamera swafoto 50MP mempunyai spesifikasi yang sama seperti Pro Max.
Membekalkan kuasa kepada Xiaomi 18 Pro adalah bateri silikon-karbon berkapasiti sedikit lebih kecil iaitu 6,000mAh, dengan sokongan pengecasan berwayar HyperCharge 90W dan pengecasan wayarles HyperCharge 50W.
Dari segi sambungan dan ciri tambahan, kedua-dua Xiaomi 18 Pro dan Xiaomi 18 Pro Max menyokong rangkaian 5G, WiFi 7, Bluetooth 6.0, NFC, dwi-SIM bersama sokongan eSIM, pengimbas cap jari ultrasonik dalam skrin, pemancar inframerah (IR blaster), pembesar suara stereo (pada 18 Pro) serta penarafan kalis air dan debu IP68.
Kedua-dua telefon pintar ini menjalankan sistem operasi Xiaomi HyperOS 4 berasaskan Android 17 yang membawakan antaramuka diperbaharui, prestasi lebih lancar, integrasi ekosistem Xiaomi yang lebih baik, serta sokongan ciri Xiaomi HyperAI, Google Gemini dan Circle to Search.
Sebarang maklumat lanjut boleh anda dapatkan di laman spesifikasi Xiaomi 18 Pro dan Xiaomi 18 Pro Max.





