Minggu lalu Xiaomi mengumumkan cip Xring01 untuk telefon pintar yang merupakan cip pemprosesan pertama mereka sejak Surge S1 lapan tahun yang lalu. Xring01 ialah permulaan baharu Xiaomi dengan CEO syarikat Lei Jun mengatakan sebanyak RMB 13.5 bilion (~RM 8 bilion) dibelanjakan untuk membangunkannya.

Beliau turut mendedahkan komitmen Xiaomi untuk melaburkan RMB 50 bilion (~RM 29.8 bilion) dalam tempoh 10 tahun akan datang bagi membangunkan cip kendiri. Sebelum ini projek membangunkan cip sendiri dihentikan disebabkan oleh beberapa isu. Mereka kemudian memberikan tumpuan terlebih dahulu kepada penghasilan cip mengawal pengecasan bateri dan juga ISP untuk kamera.
Pembangunan cip kendiri dimulakan semula serentak dengan penglibatan Xiaomi dalam dunia automotif. Penggunaan cip sendiri membolehkan Xiaomi menghasilkan cip yang benar-benar memenuhi keperluan mereka serta akan mengurangkan pergantungan kepada syarikat lain seperti MediaTek dan Qualcomm.
