Xiaomi Buds 5 turut diumumkan semalam dengan ia sepasang fon telinga TWS yang hadir dengan bukan sahaja ciri ANC mercu tetapi sokongan codec aptx Lossless untuk menikmati penstriman audio pada resolusi tinggi.

Buds 5 adalah dari jenis fon telinga terbuka tanpa putik silikon. Terdapat dua pemandu pada setiap putik serta terdapat sokongan tekanan pada tangkai untuk mengawal pemain muzik atau menjawab panggilan telefon. Sistem pembatalan hingar (ANC) adalah jenis boleh laras yang mengubah tahap audio sekeliling diredam secara automatik. Setiap putik audio juga melepasi piawaian IP54 membolehkan digunakan ketika bersukan.

Sokongan audio spatial 360 darjah, Dolby Atmos dan juga sokongan tambatan kepada dua peranti serentak juga disertakan sekali oleh Xiaomi. Satu cir menarik yang diiklankan ialah dengan menekan tangkai putik audio, panggilan telefon boleh dirakam tanpa perlu mengakses telefon pintar.
Menerusi bateri yang disertakan, penggunaan sehingga 6.5 jam boleh dinikmati atau 39 jam dengan sokongan pod pengecas. Bagi golongan peminat permua, mod gaming mengurangkan sela masa audio ke sekitar 50 ms sahaja. Xiaomi Buds 5 dijual pada harga RMB 699 (~RM450) dalam warna Titanium Gold, Moon Shadow Black, Snow Mountain White dan Frost Blue.

