Xiaomi dilaporkan akan melancarkan cip rekaan sendiri pada tahun 2025. Menurut DigiTimes cip ini akan menggunakan teknologi 3nm TSMC dan akan mengurangkan pergantungan syarikat kepada cip keluaran Qualcomm dan MediaTek dalam masa terdekat. Kerana ia cip 3nm, besar kemungkinan cip ini akan digunakan pada cip mercu seperti siri Xiaomi 16 kelak.

Ini bukan kali pertama Xiaomi melancarkan cip kendiri. Pada tahun 2017 mereka mengeluarkan Surge S1 yang kemudiannya digunakan pada telefon pintar Mi 5c. Seterusnya mereka mengeluarkan pula cip Surge C1 khusus untuk fotografi dan Surge P1 yang menguruskan kuasa.
China sedang membangunkan industri semikonduktor mereka dan penghasilan cip kendiri oleh syarikat tempatan diharap dapat memacu inovasi. Sebelum ini Huawei mengeluarkan cip sendiri tetapi selepas sekatan dikenakan empat tahun lalu, usaha mereka kini terjejas teruk sehingga ketinggalan dua generasi.

