Apple Dilaporkan Pertimbang Untuk Idea Set Kaca Televisyen

TechnologyDigital
17 Nov 2024 • 10:16 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Melalui perkongsian Bloomberg, ia kini dilaporkan pasukan Apple sedang mempertimbangkan idea untuk hadir dengan set televisyen penuh – selari dengan sasaran Apple untuk memegang pasaran peranti di ruang tamu. Untuk tahun 2025 sendiri, Apple dijangka akan memperkenalkan sebuah peranti khusus yang hadir dengan skrin kecil, serta boleh berinteraksi dengan pengguna melalui integrasi Apple Intelligence, selain menyokong FaceTime dan Siri.

Namun, sekiranya produk berkenaan tidak berjaya dan mendapatkan pegangan pasaran yang tinggi, Apple mungkin perlu menilai semula idea mereka untuk pasaran ruang tamu.

image is not available

Pada hari ini, Apple sedia menawarkan sebuah kotak set khusus yang boleh dihubungkan ke kaca televisyen sedia ada, dan membolehkan pengguna menikmati sejumlah kandungan, termasuk daripada Apple TV+. Penawaran set kaca televisyen penuh mungkin hanya menyasarkan sejumlah kecil pengguna sahaja – sekaligus mungkin membuatkan Apple tidak meneruskan idea ini.

Jikalau dilihat sebagai perbandingan, Samsung dan Xiaomi pada hari ini sedia menawarkan kaca televisyen untuk pengguna mereka dibawah jenama masing-masing, yang turut menawarkan sejumlah integrasi kandungan dan perisian mereka.