Selain dua model Xiaomi 15, tablet Xiaomi Pad 7 dan Xiaomi Pad 7 Pro turut diumumkan hari ini masing-masing dengan konfigurasi cip yang berbeza. Model paling mercu pastinya Xiaomi Pad 7 Pro yang hadir dengan skrin 11.2″ LCD dengan kadar segar semula 144Hz dan juga keterangan maksimum 800 nits. Skrin skrin menggunakan nisbah 3:2 dan turut hadir dengan lapisan anti silau.

Ia dipadankan kepada cip Snapdragon 8s Gen 3, memori sehingga 12GB RAM LPDDR5X, storan sehingga 512GB UFS 4.0 dan bateri sebesar 8850 mAh yang menyokong pengecasan pantas 67W. Kamera utama di belakang hadir dengan sensor 50MP f/1.8 sementara di hadapan pula kamera swafoto sebesar 32MP f/2.2.
Tablet turut menyokong penggunaan stylus, WiFi 7, hadir dengan 4 speaker stereo, pengimbas cap jari sisi, pemancar infra merah dan menggunakan sistem operasi HyperOS 2 berasakan Android 15.

Seterusnya Xiaomi Pad 7 juga hadir dengan skrin 11.2″ LCD dengan kadar segar semula 144Hz dan juga keterangan maksimum 800 nits. Kesemua spesifikasi skrin adalah sama sahaja dengan Pad 7 Pro. Perbezaan terletak pada penggunaan cip Snapdragon 7+ Gen 3, memori sehingga 12GB RAM LPDDR5X, storan sehingga 256GB UFS 4.0 dan bateri sebesar 8850 mAh yang menyokong pengecasan pantas 45W.
Kamera utama di belakang hadir dengan sensor 13MP f/2.2 sementara di hadapan pula kamera swafoto sebesar 8MP f/2.28. Tablet turut menyokong penggunaan stylus, WiFi 6, hadir dengan 4 speaker stereo, pemancar infra merah dan menggunakan sistem operasi HyperOS 2 berasakan Android 15.

Kedua-dua tablet menyokong stylus dan juga aksesori papan kekunci merangkap kerangka pelindung skrin. Harga jualan Xiaomi Pad 7 Pro bermula daripada RMB 2499 (~RM 1531) untuk model 8/128GB manakala Xiaomi Pad 7 pula bermula daripada RMB 1999 (~RM 1225) untuk model 8/128GB.
