
Minggu ini ialah minggu cermin mata pintar dengan Snap SPECS diumumkan dengan skrin stereoskopik. Xreal juga telah melancarkan Xreal Aura dengan ia menggunakan Android XR dan dikuasakan oleh cip bahari Snapdragon Reality Elite.

Xreal Aura ialah cermin mata realiti terimbuh (XR) dari jenis pandangan tembus (OST) dengan sudut pandangan 70°. Sepasang skrin Sony Micro‑OLED dengan kadar segar semula 120Hz digunakan untuk menggabungkan dunia sebenar dengan dunia maya. Bahagian cermin luar Aura boleh digelapkan menggunakan arus elektrik untuk kelihatan seperti cermin mata gelap.

Menerusi sistem operasi Android XR, pelbagai aplikasi tersedia digunakan seperti Maps dan Gemini. Walaupun Android XR masih lagi baharu, sebanyak 100 aplikasi Android kini tersedia untuk digunakan. Kandungan YouTube misalnya boleh ditonton pada skrin maya gergasi.

Pengguna boleh berinteraksi dengan Gemini menggunakan arahan suara dan kamera terbina boleh melihat kawasan sekeliling untuk memahami konteks soalan diberikan. Ia juga digunakan untuk sistem penjejakan tangan untuk berinteraksi dengan objek terapung. Sehingga lima tetingkap boleh dibuka di dalam Android XR.
Tidak seperti Snap SPECS, kesemua keperluan pemprosesan dan juga peka bateri disertakan dalam pek berasingan yang disambung menggunakan kabel UBS-C. Dengan ini Aura lebih selesa dipakai kerana lebih ringan. Pek menempatkan cip Snapdragon Reality Elite, cip Xreal X1S, memori sehingga 16GB RAM, storan sehingga 512GB dan bateri 4,455 mAh.
Pratempahan telah dibuka tetapi harga jualan belum lagi diumumkan. Xreal sekadar mengatakan sepasang Xreal Aura akan dijual pada harga bawah $1,500 (~RM 6131).



