Snap SPECS Dilancarkan – Cermin Mata Pintar AR Stereoskopik

TechnologyDigital
17 Jun 2026 • 12:02 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Snap SPECS Dilancarkan – Cermin Mata Pintar AR Stereoskopik

Snap telah melancarkan SPECS iaitu sepasang cermin mata pintar realiti terimbuh (AR) dengan skrin terbina pada kedua-dua lensa bagi menawarkan pemandangan stereoskopik. Teknologi waveguide digunakan untuk memaparkan kandungan terus pada lensa di kedua-dua mata dengan sudut pandangan 51 darjah. Menurut Snap, SPECS boleh memaparkan skrin sehingga sebesar 115″ secara maya.

Image from: Snap SPECS Dilancarkan – Cermin Mata Pintar AR Stereoskopik

Ini memberikannya kelebihan berbanding Meta Ray-Ban Display yang hanya mempunyai satu skrin terbina pada lensa mata kanan. Satu lagi kelebihan SPECS ialah ia direka untuk menyokong lensa preskripsi dengan mudah bagi pengguna rabun. Dua saiz ditawarkan iaitu 47 mm seberat 132g dan 52 mm seberat 136 g.

Image from: Snap SPECS Dilancarkan – Cermin Mata Pintar AR Stereoskopik

Skrin SPECS boleh memaparkan 16 juta warna dengan ia juga boleh menjadi gelap (untuk mod cermin mata gelap) yang berubah warna dalam masa 10 saat. Teknologi tingkap Boeing 787 digunakan bagi membolehkan ciri ini digunakan pada SPECS.

Image from: Snap SPECS Dilancarkan – Cermin Mata Pintar AR Stereoskopik

Ia boleh digunakan untuk memaparkan maklumat navigasi yang terapung secara maya, membantu melakukan tugas di tempat kerja seperti HoloLens dan digunakan juga untuk gaming. Pin sambungan pada tangkai kiri membolehkan SPECS disambungkan kepada peranti, komputer atau konsol untuk dijadikan skrin sekunder.

Image from: Snap SPECS Dilancarkan – Cermin Mata Pintar AR Stereoskopik

Terdapat kamera untuk rakaman gambar dan video. Lampu pada cermin mata akan menyala apabila rakaman dilakukan bagi keperluan privasi. Sungguhpun begitu bateri hanya bertahan sehingga 4 jam dan meningkat ke 20 jam menerusi bantuan pod pengecas merangkap bekas simpanan SPECS.

Image from: Snap SPECS Dilancarkan – Cermin Mata Pintar AR Stereoskopik

SPECS dilengkapi dua cip Snapdragon yang tidak didedahkan jenisnya. Besar kemungkinan adalah cip Snapdragon Reality Elite yang baru sahaja diumumkan pagi ini. Dua cip digunakan kerana satu adalah untuk kawalan sistem AR manakala satu lagi untuk menjalankan sistem AI.

Snap SPECS kini boleh dipratempah pada harga $2,195 (~RM 8931) sepasang dengan ia dijual di Amerika Syarikat, United Kingdom, dan Perancis pada musim luruh akan datang.