
Arena Kejuaraan Dunia Moto3 bakal memasuki era baharu apabila Yamaha Motor Co., Ltd. disahkan menjadi pembekal eksklusif motosikal untuk semua pasukan bermula musim 2028 hingga 2033.
Pengumuman penting itu dibuat sempena Grand Prix Belanda di Assen menerusi kerjasama antara Yamaha dan MotoGP, sekali gus menyaksikan Moto3 beralih kepada format one-make race dengan semua pelumba menggunakan jentera Yamaha yang sama.
Pendekatan ini dijangka memberi penekanan lebih besar kepada bakat pelumba berbanding kelebihan teknikal jentera, selain menawarkan platform pembangunan yang lebih seimbang untuk bintang-bintang muda menuju ke Moto2 dan MotoGP.
Jentera baharu itu dibangunkan berasaskan enjin CP2 Yamaha iaitu enjin yang sama digunakan pada model R7 bersasaran 689cc 2 cilinder, namun telah diubah suai secara menyeluruh sebagai prototaip perlumbaan Grand Prix. Dengan berat hanya sekitar 120kg, Yamaha menyasarkan power to ratio yang lebih baik berbanding motosikal Moto3 sedia ada, di samping menggunakan saiz motosikal yang lebih sesuai dengan generasi pelumba masa kini.
Pengarah Urusan Yamaha Motor Racing, Paolo Pavesio, berkata Moto3 sentiasa menjadi titik permulaan impian pelumba untuk melangkah ke pentas Grand Prix. Menurutnya, matlamat Yamaha bukan sekadar menghasilkan sebuah motosikal baharu, tetapi membangunkan satu platform yang mampu menyokong pelumba, pasukan dan kejohanan untuk tempoh jangka panjang dengan menggabungkan aksesibiliti, kecekapan kejuruteraan dan prestasi perlumbaan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Sukan MotoGP, Carlos Ezpeleta, menyifatkan projek tersebut sebagai langkah penting untuk masa depan Moto3 serta pembangunan akar umbi sukan permotoran. Beliau percaya penggunaan platform global bersama Yamaha akan membantu melahirkan lebih ramai bakat muda, meningkatkan akses kepada perlumbaan dan mengukuhkan lagi peranan Moto3 sebagai pintu masuk utama ke Kejuaraan Dunia MotoGP.
Model rasmi motosikal tersebut akan diperkenalkan pada tahun 2027, manakala ujian prototaip dijadual berlangsung dalam masa terdekat.
Selain Kejuaraan Dunia Moto3, versi berbeza motosikal ini turut dijangka digunakan dalam FIM Moto3 Junior World Championship bermula 2029, dengan beberapa siri perlumbaan serantau turut menunjukkan minat untuk menyertai platform sama.
Perubahan ini menandakan satu transformasi besar dalam landskap perlumbaan Moto3 dan membuka lembaran baharu buat pembangunan bakat muda di pentas Grand Prix.






















The post Yamaha Sah Jadi Pembekal Tunggal Moto3 Bermula 2028, Era Baharu ‘One-Make Race’ appeared first on TW Media.


