Ketua penyelidikan kecerdasan buatan (AI) Meta, Yann LeCun mengesahkan beliau akan meninggalkan syarikat pada penghujung tahun ini bagi menubuhkan syarikat AI beliau sendiri. Sebelum ini sudahpun kedengaran ura-ura LeCun akan meninggalkan Meta yang disertai beliau pada tahun 2013.
Syarikat AI baharu yang akan ditubuhkan LeCun akan memberikan tumpuan kepada pembangunan Kecerdasan Mesin Lanjutan (Advanced Machine Intelligence). AMI ingin merealisasikan kecerdasan untuk mesin seperti robot untuk beroperasi di dunia sebenar menggunakan model dunia (world model).

Semasa di Meta, LeCun menjadi ketua penyelidik di Facebook Artificial Intelligence Research (FAIR) Lab. LeCun adalah antara pelopor awal teknologi AI dengan beliau menerima Anugerah Turing pada tahun 2019 untuk sumbangan dalam pembelajaran mendalam dan tahun 2024 untuk pembelajaran pengukuhan.
Ura-ura LeCun akan meninggalkan Meta mula kedengaran selepas Meta Superintelligence Labs (MSL) ditubuhkan bulan Julai. Beliau perlu melaporkan diri kepada Alexandr Wang yang mengetuai MSL sedangkan pengasas Scale AI ini tidak pernah menamatkan pengajian di MIT. Kemudian apabila MSL membuang lebih 600 kakitangan bulan lalu untuk melakukan penstrukturan semula, sekali lagi beliau dilaporkan akan meletakkan jawatan.


