Yayasan AmanahRaya Peruntuk Lebih RM100 Ribu Taja Pelajar Cemerlang Universiti Sains Islam Malaysia Menerusi Dermasiswa

23 Nov 2022 • 3:09 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Kuala Lumpur, 23 November 2022 – Yayasan AmanahRaya (YAR) bersama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerusi program Dermasiswa hari ini telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan menaja sebanyak lebih RM100,000.00 bagi pembiayaan kos pengajian kepada tiga orang pelajar cemerlang akademik daripada kursus Ijazah Sarjana Muda Pemasaran (Perkhidmatan Kewangan), Fakulti Ekonomi Dan Muamalat. Penajaan ini merangkumi pembiayaan yuran pengajian, penginapan, elaun sara hidup selama empat tahun.

MoU berkenaan telah ditandatangani oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Yayasan AmanahRaya, Yang Berbahagia Dato’ Haji Che Pee Samsudin dan Naib Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia, Yang Berbahagia Prof. Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani disaksikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan AmanahRaya, Yang Berusaha Encik Ahmad Feizal Sulaiman Khan.

Yang Berusaha Encik Ahmad Feizal Sulaiman Khan dalam ucapan aluannya berkata, “Yayasan AmanahRaya yang ditubuhkan pada 17 Oktober 2011, sentiasa komited membantu pelajar yang kurang berkemampuan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh Yayasan AmanahRaya sejak penubuhannya seperti menawarkan Biasiswa dan Dermasiswa kepada pelajar-pelajar yang layak, bagi memastikan pelajar cemerlang akademik mendapat bantuan secukupnya agar mereka mampu memperbaiki kehidupan keluarga dan menyumbang kepada pembangunan negara apabila tamat pengajian nanti.”

Naib Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia, Yang Berbahagia Prof. Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani turut menyampaikan ucapan setinggi penghargaan kepada Yayasan AmanahRaya di atas bantuan Dermasiswa yang diberikan ke atas tiga (3) orang pelajar Ijazah Sarjana Muda Pemasaran (Perkhidmatan Kewangan), Fakulti Ekonomi dan Muamalat, ketika ucapan beliau.

Tambah beliau lagi, bantuan Dermasiswa ini akan dapat meringankan beban pelajar dan juga meningkatkan motivasi mereka untuk meneruskan pengajian dengan lebih bersungguh-sungguh. USIM juga mengharapkan agar pelajar-pelajar berkenaan akan mempunyai semangat yang tinggi untuk berjaya selain dapat menamatkan pengajian mereka dengan cemerlang.

Majlis turut disertai oleh barisan Pengurusan Kanan Amanah Raya Berhad dan Universiti Sains Islam Malaysia.