
KUALA LUMPUR: Sebagai usaha membantu meringankan beban yang ditanggung seorang pesakit mualaf berketurunan sikh, Yayasan Bonda Salmah menyerahkan sumbangan sebuah kerusi roda elektrik untuk memudahkan pergerakan ketika dalam tempoh rawatan.
Pesakit mualaf itu kini sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat masalah kesihatan berkaitan diabetes dan jantung.
Pengerusi Yayasan Bonda Salmah, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, sumbangan ini diharap dapat memberikan manfaat secara langsung kepada penerima, terutamanya dalam memudahkan urusan pergerakan harian serta meningkatkan keselesaan dan kualiti kehidupannya.
“Pada masa sama, bantuan ini diharap dapat menjadi sumber kekuatan dan semangat kepada penerima untuk terus tabah menghadapi ujian kesihatan yang sedang dilalui.
“Yayasan Bonda Salmah sentiasa berusaha membantu mereka yang memerlukan mengikut kemampuan dan keperluan semasa,” katanya di sini baru-baru ini selepas melawat dan menyerahkan bantuan itu kepada penerima di HKL.
Mohd. Na’im berkata, setiap sumbangan bukan sekadar bantuan material, tetapi juga tanda keprihatinan dan solidariti sesama insan.
Katanya, usaha kecil ini mampu membawa manfaat yang besar kepada penerima.
Dalam lawatan sama, Mohd Na’im turut meluangkan masa menziarahi seorang pesakit yang sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur.
Beliau turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga pesakit berkenaan sebagai tanda keprihatinan dan sokongan moral, di samping membantu meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga sepanjang menghadapi ujian kesihatan tersebut.
Dalam pada itu, Yayasan Bonda Salmah percaya bahawa kerjasama antara badan kebajikan dan institusi kesihatan amat penting bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan dengan teratur dan berkesan.
Katanya, pihaknya akan terus komited melaksanakan usaha kebajikan dan kemasyarakatan bagi menyantuni golongan yang memerlukan tanpa mengira latar belakang, selaras dengan semangat ihsan, keprihatinan dan nilai kemanusiaan. – UTUSAN
The post Yayasan Bonda Salmah beri sumbangan pesakit mualaf berketurunan sikh appeared first on Utusan Malaysia.

