Yayasan Hind Rajab Fail Aduan Jenayah di Belgium Terhadap Askar Israel

WorldPolitics
22 Jul 2026 • 9:04 AM MYT
UmmahToday
UmmahToday

From Ummah To Ummah News Portal

Image from: Yayasan Hind Rajab Fail Aduan Jenayah di Belgium Terhadap Askar Israel

Yayasan Hind Rajab (HRF) telah memfailkan aduan jenayah tergempar kepada Pendakwa Raya Persekutuan Belgium terhadap seorang askar Israel yang dikesan menghadiri festival muzik terkenal, Tomorrowland.

Kumpulan hak asasi manusia dan advokasi undang-undang itu mendesak pihak berkuasa Belgium mengambil langkah segera bagi menahan dan menghalang individu terbabit daripada meninggalkan negara itu sementara pihak berkuasa kehakiman menilai dakwaan jenayah perang di Gaza.

Menurut kenyataan HRF, aduan tersebut difailkan berikutan penglibatan suspek dalam jenayah perang semasa pembunuhan beramai-ramai oleh tentera Israel di Semenanjung Gaza antara tahun 2023 dan 2024. HRF mengemukakan bukti bahawa suspek pernah berkhidmat dalam unit tentera Israel yang ditempatkan di Bandar Gaza dan Rafah.

Kumpulan itu menambah bahawa infrastruktur awam termasuk kediaman, premis komersial, pejabat kerajaan, dan kemudahan pendidikan telah dimusnahkan secara sistematik dalam tempoh berkenaan menggunakan kenderaan berperisai, jentolak tentera, serta perobohan terkawal.

HRF berhujah bahawa kehadiran suspek di Belgium memberikan asas bidang kuasa di bawah Perkara 14/10 Kanun Prosedur Jenayah Belgium untuk menyiasat jenayah antarabangsa yang dilakukan di luar negara. Sehubungan itu, pihak yayasan meminta pendakwa raya merujuk perkara tersebut secara rasmi kepada hakim pemeriksa untuk tindakan lanjut.

Ini bukanlah kali pertama acara Tomorrowland dikaitkan dengan tindakan undang-undang seumpama ini. Pada Julai 2025, HRF bersama Rangkaian Tindakan Perundangan Global pernah memfailkan aduan terhadap dua askar Israel yang menghadiri festival sama. Polis Persekutuan Belgium telah menahan dan menyoal siasat kedua-dua individu berkenaan sebelum membebaskan mereka.

Untuk rekod, pencerobohan dan serangan Israel telah mengorbankan kira-kira 73,000 nyawa serta memusnahkan hampir 90 peratus infrastruktur awam di Gaza dalam tempoh dua tahun sebelum gencatan senjata dimeterai pada Oktober 2025. Meskipun gencatan senjata telah dikuatkuasakan, pelbagai pihak melaporkan siri pelanggaran syarat masih terus berlaku di wilayah berkenaan.

TRT World & Agensi

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved