
MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Datuk Seri Nancy Shukri, hari ini menziarahi keluarga mendiang Debra Moset di Kampung Semadang, Padawan, Sarawak.
Mendiang merupakan antara mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Baram, Sarawak, dalam kejadian pada 8 September 2026.

Dalam kunjungan tersebut, Nancy menyampaikan bantuan tunai menerusi Pemberian Ehsan kepada Keluarga/Mangsa Bencana (PEKA YKN) sebagai tanda keprihatinan dan sokongan kepada keluarga mendiang.
Dalam kunjungannya, beliau turut merakamkan ucapan takziah dan berharap keluarga mendiang diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi kehilangan insan tersayang.
“Kehilangan insan tersayang secara tiba-tiba bukan sesuatu yang mudah untuk diterima. Sumbangan ini tidak mampu menggantikan nyawa yang telah pergi, namun saya berharap ia dapat membantu meringankan sedikit beban keluarga dalam menghadapi waktu yang amat sukar ini.

“Bantuan PEKA YKN ini merupakan antara bentuk sokongan awal kepada keluarga mangsa. Dalam keadaan seperti ini, kehadiran dan perhatian kita amat penting agar keluarga yang sedang berduka tidak berasa bersendirian.
“Saya mendoakan agar seluruh keluarga mangsa diberikan kekuatan dan
ketabahan. Semoga segala jasa serta pengorbanan mereka dalam memberikan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat, khususnya penduduk di kawasan pedalaman, sentiasa dikenang.” katanya.
Dalam lawatan tersebut, keluarga mendiang turut menerima khidmat kaunseling dan sokongan psikologi daripada kaunselor Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) YKN, selain sumbangan bakul makanan.
Ibu mendiang pula disyorkan menerima Bantuan Warga Emas JKM sebanyak RM600 sebulan mulai Oktober 2026. Adik bongsu mendiang, Cik Ponis Moses, yang merupakan individu kurang upaya fizikal, turut didaftarkan untuk menerima bantuan Orang Kurang Upaya (OKU).

Turut hadir dalam sesi ziarah tersebut ialah Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Anak Mongin; Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Puan Nordina Haron dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Mohd Daud bin Mohd Arif.
Terdahulu, pada 18 September 2026, Ketua Setiausaha KPWKM Datuk Dr Maziah Che Yusoff telah menziarahi keluarga Allahyarham Dr Ainul Baraah
Kamaruddin di Kampung Baung, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan dan menyampaikan bantuan PEKA YKN.
Bantuan sama turut diselaraskan untuk disampaikan kepada keluarga tiga lagi mangsa, iaitu Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham di Senawang, Negeri Sembilan dan keluarga mendiang Alexson Adit Henry serta mendiang Jessie Paya Jok di Miri, Sarawak.
PEKA YKN merupakan bantuan tunai segera kepada keluarga atau waris mangsa bencana dan kejadian tidak diingini bagi membantu meringankan beban mereka ketika menghadapi situasi sukar.
KPWKM dan YKN sekali lagi merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa nahas tersebut. Semoga keluarga yang ditinggalkan diberikan kekuatan dan ketabahan dalam melalui tempoh dukacita ini.






