Yayasan Kubra dakwa terima maklumat tanah akan diceroboh semula

LocalPolitics
2 Apr 2026 • 1:44 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Wakil Yayasan Kubra, Syarafuddin Ismail mempamerkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Rawang, Selangor berhubung dakwaan ancaman pencerobohan tanah yayasan.

RAWANG – Yayasan Kubra mendakwa menerima maklumat awal bahawa, sekumpulan individu dipercayai merancang mahu menceroboh semula tanah di Rawang.

Peguam, Muhammad Hariz Md Yusoff berkata, walaupun struktur rumah ibadah yang dibina secara tidak sah itu telah runtuh sepenuhnya pada 25 Februari lalu.

Menurutnya, golongan berkenaan menggunakan alasan menceroboh kerana mahu melakukan upacara keagamaan.

Sedangkan katanya, perkara tersebut berlaku selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam membatalkan perintah Mahkamah Majistret Selayang berhubung aduan pecah keamanan yang difailkan oleh pihak kuil Sri Uchimalai Muniswaraman, pada 31 Mac lalu.

"Yayasan Kubra turut dimaklumkan oleh pihak polis bahawa, terdapat kumpulan individu, merancang untuk memasuki semula kawasan tanah milik yayasan itu kononnya bagi mengadakan upacara anutan.

“Tiada sebarang berhala berada di tapak tanah milik Yayasan Kubra selepas pihak yang terlibat sendiri membawa keluar semua berhala dari kawasan tersebut,” katanya menerusi kenyataan di laman sosial Facebook.

Beliau berkata, cubaan untuk menceroboh semula kawasan berkenaan sehingga mencetuskan kekecohan, rusuhan atau kegemparan awam boleh dianggap sebagai kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, katanya, Yayasan Kubra telah membuat laporan polis bagi mendapatkan kawalan keselamatan serta mengelakkan sebarang cubaan rusuhan jenayah oleh pihak yang didakwa menceroboh tanah tersebut.

Muhammad Hariz berkata, pihaknya berharap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat pihak yang gagal menghormati perintah Mahkamah Tinggi.

Menurutnya, keadaan itu juga menimbulkan persoalan sama ada terdapat cubaan untuk membangkitkan naratif sensitif berkaitan isu kaum, agama dan institusi diraja (3R) berhubung pencerobohan tanah tersebut.

Susulan itu beliau berkata, Yayasan Kubra membuat laporan di Balai Polis Rawang, pada Khamis.

Pada Selasa, Yayasan Kubra berjaya dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi Shah Alam, untuk mengetepikan keputusan awal Mahkamah Majistret Selayang bagi meneruskan inkuiri aduan pembinaan rumah ibadat di tanah tidak sah, berhubung pertikaian tanah dan kemungkinan pecah keamanan.

Pesuruhjaya Kehakiman, Suriyati Hasimah Mohd Hashim memutuskan demikian selepas mendengar hujahan daripada pihak Yayasan itu selaku pemohon dan peguam, Rajesh Nagarajan bagi pihak Persatuan Penganut Sri Uchimalai Muniswaraman sebagai responden.

Pada 13 Mac lalu, Mahkamah Majistret Selayang memutuskan, wujud pertikaian berkaitan status pemilikan tanah yang menempatkan binaan kuil terbabit.

Majistret, Chai Guan Hock kemudiannya memerintahkan kedua-dua pihak yang terlibat dalam pertikaian tersebut hadir ke mahkamah untuk pendengaran inkuiri di bawah Seksyen 99(4) Kanun Tatacara Jenayah (CPC).

Beliau juga meminta mereka memfailkan kenyataan bertulis berkenaan milikan sebenar terhadap tanah tersebut.

Mahkamah juga memerintahkan, salinan perintah disampaikan kepada pihak-pihak yang dinamakan dalam kes saman tersebut menurut CPC.

Katanya, salinan perintah perlu dipamerkan di tanah tersebut iaitu di kawasan Rawang Perdana 2.