Yayasan Kubra Buat Laporan Polis, Dakwa Tanah Akan Diceroboh Semula

LocalPolitics
2 Apr 2026 • 2:51 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Yayasan Kubra mendakwa menerima maklumat awal bahawa sekumpulan individu dipercayai merancang untuk menceroboh semula tanah miliknya di Rawang.

Ada kumpulan individu rancak semula masuki kawasan tersebut

Menerusi perkongsian peguam yayasan di Facebook, Muhammad Hariz Md Yusoff menyatakan walaupun struktur rumah ibadah yang dibina secara tidak sah itu telah runtuh sepenuhnya pada 25 Februari lalu, golongan berkenaan menggunakan alasan mahu melakukan upacara keagamaan.

Ujarnya, perkara tersebut berlaku selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam membatalkan perintah Mahkamah Majistret Selayang berhubung aduan pecah keamanan yang difailkan oleh pihak kuil Sri Uchimalai Muniswaraman pada 31 Mac lalu.

“Yayasan Kubra turut dimaklumkan oleh pihak polis bahawa terdapat kumpulan individu merancang untuk memasuki semula kawasan tanah milik yayasan itu kononnya bagi mengadakan upacara anutan.
“Tiada sebarang berhala berada di tapak tanah milik Yayasan Kubra selepas pihak yang terlibat sendiri membawa keluar semua berhala dari kawasan tersebut,” katanya.

image is not available

Cubaan ceroboh semula cetus kekecohan

Beliau menegaskan bahawa cubaan menceroboh semula kawasan berkenaan sehingga mencetuskan kekecohan, rusuhan atau kegemparan awam boleh dianggap sebagai kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, Yayasan Kubra telah membuat laporan polis bagi mendapatkan kawalan keselamatan serta mengelakkan sebarang cubaan rusuhan jenayah oleh pihak yang didakwa menceroboh tanah tersebut.

Dalam pada itu, Muhammad Hariz berkata, pihaknya berharap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat pihak yang gagal menghormati perintah Mahkamah Tinggi.

image is not available

Screenshot

Keadaan itu juga menimbulkan persoalan sama ada terdapat cubaan untuk membangkitkan naratif sensitif berkaitan isu kaum, agama dan institusi diraja (3R) berhubung pencerobohan tanah tersebut. Susulan itu, Yayasan Kubra membuat laporan di Balai Polis Rawang pada Khamis.

Pada Selasa, Yayasan Kubra berjaya dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk mengetepikan keputusan awal Mahkamah Majistret Selayang dan meneruskan inkuiri aduan pembinaan rumah ibadat di tanah tidak sah berhubung pertikaian tanah dan kemungkinan pecah keamanan.

Majistret, Chai Guan Hock kemudian memerintahkan kedua-dua pihak yang terlibat hadir ke mahkamah untuk pendengaran inkuiri di bawah Seksyen 99(4) Kanun Tatacara Jenayah (CPC) dan memfailkan kenyataan bertulis berkenaan milikan sebenar terhadap tanah tersebut.

Mahkamah turut memerintahkan salinan perintah disampaikan kepada pihak-pihak yang dinamakan dalam kes saman serta dipamerkan di tapak tanah di kawasan Rawang Perdana 2. Yayasan Kubra berharap langkah ini dapat mengelakkan sebarang percubaan pencerobohan dan mengekalkan keamanan di kawasan berkenaan.

Sumber: Facebook Muhammad Hariz

The post Yayasan Kubra Buat Laporan Polis, Dakwa Tanah Akan Diceroboh Semula appeared first on Borak Daily.