
Yayasan LTAT Pacu Penerokaan STEM Generasi Warga ATM SMK Pangkalan TLDM Lumut Dalam Ekonomi Digital Negara
LUMUT, 10 Disember 2025 – Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (Yayasan LTAT) memperkukuh komitmen terhadap pembangunan modal insan pertahanan negara melalui pelaksanaan Program STEM Outreach 2025 di SMK Pangkalan TLDM Lumut hari ini.
Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) selaku rakan strategik pelaksana, dalam usaha memperluas akses pendidikan STEM kepada anak-anak warga ATM.
Inisiatif ini digerakkan bagi memastikan pelajar dalam komuniti kem tentera memperoleh peluang penguasaan kemahiran sains dan teknologi yang setara dengan sekolah arus perdana, seterusnya mengurangkan jurang penyertaan pelajar ATM dalam aliran sains di peringkat menengah dan pendidikan tinggi.
Seramai 60 pelajar tingkatan 2 & tingkatan 3 telah menyertai modul Snap Circuit, iaitu latihan berbentuk aplikasi dunia sebenar untuk mengenali komponen elektrik dan litar asas melalui set modular yang selamat dan mudah dikonfigurasi.
Langkah ini dirangka untuk meningkatkan literasi teknologi serta membina keyakinan pelajar meneroka bidang teknikal dan kejuruteraan.
Modul ini dikendalikan oleh YBrs. En. Khairul Anuar bin Mohd Zain, Pegawai Penyelidik Pusat Usahasama Kecemerlangan Rekabentuk Mikrolektronik (CEDEC), USM yang turut menerangkan bagaimana konsep asas litar menjadi teras kepada pembangunan sistem kritikal seperti automasi, komunikasi taktikal dan teknologi keselamatan ketenteraan.
Program ini turut dihadiri oleh YBrs. Profesor Dr. Asrulnizam Abd Manaf, Pengarah CEDEC USM; YBrs. Encik Mohd Ashraff bin Hj Mohd, Pegawai Khas kepada Menteri Pengajian Tinggi serta YBrs. Tuan Haji Hassan bin Abd Ghafor, Pengetua SMK Pangkalan TLDM Lumut.
Penguasaan STEM kini merupakan antara keutamaan nasional dalam memastikan kesinambungan kemajuan negara dan daya saing generasi akan datang. Kemahiran dalam sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik menjadi pemacu utama pertumbuhan sektor strategik berteraskan inovasi seperti teknologi digital, kejuruteraan maju, kecerdasan buatan, tenaga lestari dan analitik data merupakan bidang yang menawarkan peluang kerjaya bernilai tinggi dan permintaan bakat yang semakin meningkat.
Sehubungan dengan itu, selaras dengan aspirasi STEM Madani untuk memperluas akses pendidikan berkualiti kepada semua lapisan masyarakat, Yayasan LTAT memberi penekanan kepada pemerkasaan pelajar dalam komuniti kem tentera agar mereka mampu menikmati peluang pembangunan akademik yang setara, seterusnya membina mobiliti sosial ke arah masa depan yang lebih cerah melalui penguasaan ilmu dan kemahiran teknologi.
Program STEM Outreach menjadi platform penting untuk meningkatkan minat pelajar ATM dalam aliran sains apabila melangkah ke Tingkatan 4 serta membuka laluan kepada pendidikan tinggi dan kerjaya strategik negara.
Siri pelaksanaan ini akan diperluas ke lebih banyak sekolah dalam kem ATM di seluruh negara sepanjang 2025 sebagai pelaburan jangka panjang terhadap pembangunan modal insan Angkatan Tentera Malaysia.
Melalui pelaksanaan berterusan program STEM ini, Yayasan LTAT komited memperkukuh akses pendidikan berasaskan teknologi kepada anak-anak warga ATM, agar mereka memiliki peluang setara dalam mengejar kecemerlangan akademik serta pemerkasaan kemahiran digital & teknologi.
Usaha ini diyakini mampu membuka laluan lebih luas kepada masa depan pendidikan dan kerjaya yang progresif, sekaligus menyumbang kepada aspirasi negara melahirkan generasi muda berdaya saing dalam ekonomi digital yang semakin berkembang.
The post Yayasan LTAT Pacu Penerokaan STEM Generasi Warga ATM SMK Pangkalan TLDM Lumut Dalam Ekonomi Digital Negara appeared first on Siakap Keli.

