Yayasan MBI sumbang 5,000 kotak pelitup muka bantu penduduk terjejas jerebu

LocalEnvironment
7 Oct 2026 • 4:01 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Yayasan MBI sumbang 5,000 kotak pelitup muka bantu penduduk terjejas jerebu

SHAH ALAM, 7 OKT: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau Yayasan MBI menyumbangkan 5,000 kotak pelitup muka bagi membantu penduduk yang terjejas akibat jerebu di Selangor.

Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata sumbangan 3,000 kotak pelitup muka untuk dewasa dan 2,000 kotak untuk kanak-kanak itu diserahkan kepada Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) bagi menentukan kawasan dan golongan yang memerlukan bantuan, termasuk murid sekolah serta penduduk terjejas.

Image from: Yayasan MBI sumbang 5,000 kotak pelitup muka bantu penduduk terjejas jerebu
Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“Kita serahkan kepada UPBN untuk menentukan sendiri kawasan dan golongan yang perlu menerima bantuan, supaya ia sampai kepada golongan yang memerlukan.

“Kita juga akan buat penyelarasan (dengan UPBN) dari semasa ke semasa dan pastikan bantuan ini sampai kepada golongan sasaran,” katanya.

Ahmad Azri berkata tindakan awal perlu diambil susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang mencecah 150, menunjukkan keadaan jerebu semakin tebal dan membimbangkan.

Jelasnya, walaupun sekolah hanya ditutup apabila bacaan IPU mencapai 200, langkah awal wajar diambil bagi membantu melindungi golongan yang terjejas akibat keadaan itu.

Image from: Yayasan MBI sumbang 5,000 kotak pelitup muka bantu penduduk terjejas jerebu
Ketua Penolong Setiausaha Unit Pengurusan bencana, Bahagian Khidmat Pengurusan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor Mohd Azhar Mohd Daud. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Sementara itu, Ketua Penolong Setiausaha Unit Pengurusan Bencana, Bahagian Khidmat Pengurusan SUK, Mohd Azhar Mohd Daud merakamkan penghargaan kepada Yayasan MBI atas sumbangan pelitup muka itu.

Beliau berkata pelitup muka berkenaan akan diagihkan dalam masa terdekat mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Selangor.

“Keutamaan diberikan kepada murid sekolah rendah dan menengah. Kita akan berbincang dengan ADN di setiap kawasan (yang memerlukan) untuk tentukan agihan,” katanya.

Bacaan IPU di Selangor setakat jam 3.15 petang ini menunjukkan Johan Setia merekodkan bacaan tertinggi iaitu 190, diikuti Shah Alam (178), Petaling Jaya (175), Banting (173) dan Klang (170).

Kuala Selangor turut menunjukkan peningkatan kepada 152 berbanding kategori sederhana pada sebelah pagi, sekali gus meletakkan semua stesen pemantauan utama di Selangor dalam kategori tidak sihat.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved