Yayasan MBI sumbang RM18,000 kepada enam keluarga mangsa kebakaran

18 Mar 2026 • 12:42 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 18 MAC: Enam keluarga mangsa kebakaran di Bestari Jaya dan Sabak Bernam menerima bantuan berjumlah RM18,000 daripada Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

Ketua Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor berkata setiap keluarga menerima sumbangan sebanyak RM3,000 yang akan disalurkan secepat mungkin bagi meringankan beban mereka.

“Untuk kejadian di Bestari Jaya, ia libatkan kira-kira 25 mangsa dari lima keluarga dan kini mereka ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

“Berikutan itu, selain sumbangan ehsan RM3,000 setiap keluarga, kita turut hantar bantuan berupa selimut, bantal, makanan ringan dan minuman hari ini,” katanya kepada Media Selangor.

image is not available
Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Bagi mangsa di Sabak Bernam, Ahmad Azri berkata, sebuah keluarga terlibat yang kini menumpang di rumah saudara akan turut dibantu sebaik mungkin.

Menurutnya, Yayasan MBI tahun ini meneruskan peruntukan tahunan berjumlah RM1 juta bagi membantu mangsa bencana termasuk kebakaran, banjir dan tanah runtuh.

Katanya, bantuan tersebut bukan hanya melibatkan wang tunai, sebaliknya turut merangkumi keperluan asas seperti bakul makanan dan barangan harian.