
‘Program Sekolah Selamat, Kanak-kanak Selamat akan memperkenalkan pengetahuan dan kemahiran menyelamatkan nyawa kepada lebih 3,000 buah sekolah di Malaysia
Hong Kong, 12 Mac 2024 – Yayasan Prudence, pelaburan komuniti Prudential plc, dan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) akan bekerjasama untuk memperkenalkan program Sekolah Selamat, Kanak-kanak Selamat kepada murid-murid di seluruh Malaysia. Program ini bertujuan untuk mendidik kanak-kanak dan remaja berumur 10-15 tahun dengan pengetahuan dan kemahiran menyelamatkan nyawa supaya mereka mampu bertindak secara proaktif terhadap krisis keselamatan seperti kemalangan jalan raya dan bencana alam.
Sekolah Selamat, Kanak-kanak Selamat juga bertujuan untuk menyokong pihak berkuasa pendidikan, sekolah, guru dan ibu bapa dalam memahami dan mempraktikkan langkah-langkah keselamatan yang komprehensif bagi memastikan kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak di sekolah.
Program ini akan dilaksanakan melalui rangkaian pasukan Bulan Sabit Merah Malaysia di lebih 3,000 buah sekolah yang merangkumi lebih 150,000 murid. BSMM akan memanfaatkan bahan program SAFE STEPS Kids yang dibangunkan oleh Yayasan Prudence, Cartoon Network dan Persekutuan Antarabangsa Persatuan-Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah ke dalam modul pembelajarannya. Siri SAFE STEPS Kids terdiri daripada video yang menghiburkan dan bahan pendidikan yang merangkumi topik seperti keselamatan jalan raya, pertolongan cemas, bencana alam, kesihatan dan perubahan iklim.
Kanak-kanak di Malaysia sedang menghadapi pelbagai bahaya dan risiko. Lebih 500,000 kemalangan jalan raya dilaporkan pada tahun 2022 dengan jumlah 6,080 kematian termasuk murid-murid sekolah¹. Walapun banjir adalah bencana biasa, ia kerap merosakkan bangunan sekolah dan mengganggu peluang pembelajaran. Latihan dalam pertolongan cemas boleh membuat perbezaan yang ketara dalam keputusan situasi kecemasan. Orang awam yang terlatih boleh menyediakan rawatan perubatan asas untuk merawat kecederaan ringan dan memelihara nyawa sehingga bantuan perubatan profesional tiba². Menyedari betapa pentingnya penyediaan dan pengetahuan pertolongan cemas dan keselamatan jalan raya, BSMM mempunyai mandat untuk mendidik kanak-kanak dan remaja dengan pengetahuan yang diperlukan untuk mengharungi pelbagai situasi kecemasan supaya mereka mampu membuat keputusan penting untuk menyelamatkan nyawa.
Diana Guzman, Ketua Pegawai Kelestarian, Prudential plc dan Pengerusi Yayasan Prudence berkata, “Kanak-kanak mempunyai hak untuk berasa selamat ketika berada di sekolah dan mampu untuk meneruskan pembelajaran walaupun terdapat gangguan. Sekolah Selamat telah menjadi salah satu teras utama kami untuk memupuk daya tahan terhadap bencana alam dengan menyediakan pengetahuan dan kemahiran hidup kepada murid dan guru. Prudential telah berada di Malaysia selama 100 tahun dan kami komited untuk memberikan sokongan penuh kepada komuniti tempatan yang memerlukan. Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan MRC yang mempunyai rangkaian yang luas di negara ini, membolehkan kami mendekati lebih ramai kanak-kanak dengan program ini.”
Tuan Haji Hakim Haji Hamzah, Setiausaha Agung BSMM berkata, "BSMM berusaha untuk memupuk kesejahteraan kanak-kanak dengan menyampaikan kemahiran kesihatan dan keselamatan yang penting. Kerjasama dengan Yayasan Prudence ini mencerminkan komitmen bersama kami untuk memperkasakan generasi akan datang, memastikan mereka memiliki pengetahuan dan keyakinan untuk berkembang maju dalam apa jua keadaan."
Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.prudentialplc.com/en/prudence-foundation.

