MERAK Jalanan seronok dengar pengumuman diskaun 30 peratus bagi perjalanan menggunakan tren elektrik ETS dan ERT untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.
Inisiatif tersebut hanya terpakai pada Isnin hingga Khamis sahaja, kecuali hari minggu, cuti umum dan cuti sekolah.
Jika perjalanan dari KL Sentral ke utara menggunakan gerabak Platinum, harga asalnya adalah RM161 bagi perjalanan sehala dan apabila penumpang menikmati potongan harga 30 peratus, bermakna mereka hanya perlu membayar RM112.70 sahaja, jadi jumlah penjimatan ialah sebanyak RM48.30.
Cuma yang menjadi masalah bagi Merak Jalanan ialah perkhidmatan ETS selalunya penuh terutama pada setiap hujung minggu. Itupun pengguna perlu membeli tiket dua bulan lebih awal.
Jadi kita boleh faham tindakan Yang Berhormat Menteri Pengangkutan hanya umumkan pemberian diskaun itu hanya pada hari biasa.
Jadi kalau bagi pandangan Merak Jalanan kalau betul-betul hendak rakyat gunakan perkhidmatan awam, kerajaan kenalah pastikan ia mencukupi.
Mungkin jumlah gerabak pada hari biasa dikurangkan dan ditambah kepada hari minggu. Jadi hasrat supaya rakyat guna pengangkutan awam ini akan jadi lebih optimum.
Maklumlah ketika seluruh dunia sedang dilanda krisis tenaga disebabkan perang Amerika-Israel dengan Iran ini, bekalan minyak turut terganggu.
Jadi kita kena kurangkan kebergantungan kepada bahan api dan beralih kepada alternatif lain.
Kita amat hargai usaha kerajaan dan bersyukur tetapi dalam masa yang sama kerajaan perlu terus perbaiki tahap pengangkutan awam negara untuk masa depan.


