YDPA Jadi Watak Penting Kepulangan F1 ke Malaysia, Hubungan Akrab Dengan Raja Bahrain Buka Laluan Perjanjian Bersejarah

27 Jul 2026 • 6:55 PM MYT
TW Media
TW Media

Gedung Info Permotoran

Image from: YDPA Jadi Watak Penting Kepulangan F1 ke Malaysia, Hubungan Akrab Dengan Raja Bahrain Buka Laluan Perjanjian Bersejarah

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, mendedahkan bahawa kepulangan Formula 1 ke Malaysia adalah hasil diplomasi diraja serta hubungan rapat dan tahap kepercayaan tinggi antara baginda dan Raja Bahrain, Raja Hamad bin Isa Al Khalifa.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Sultan Ibrahim bertitah persahabatan peribadi antara baginda dan Raja Bahrain yang terjalin sejak 2017 telah berkembang menjadi hubungan diplomatik yang lebih kukuh antara Malaysia dan Bahrain. Hubungan itu terus diperkukuhkan menerusi lawatan negara baginda ke Bahrain pada tahun 2025.

Menurut Sultan Ibrahim, Bahrain berdepan ketidaktentuan untuk menganjurkan Grand Prix Formula 1 berikutan konflik bersenjata di Asia Barat. Keadaan itu menyebabkan kerajaan Bahrain memerlukan penyelesaian segera bagi memastikan perlumbaan berprestij tersebut dapat diteruskan mengikut jadual.

Baginda berkata, Raja Hamad kemudian menghubungi baginda secara peribadi melalui panggilan telefon bagi membincangkan penyelesaian terbaik. Perbincangan itu menjadi titik permulaan kepada kerjasama melibatkan kerajaan Malaysia, kerajaan Bahrain, Formula 1 serta Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).

Hasil daripada kerjasama tersebut, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dipilih sebagai lokasi penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026, yang dijadual berlangsung pada 2 hingga 4 Oktober 2026.

Walaupun perlumbaan berlangsung di Malaysia, ia masih menggunakan nama rasmi Grand Prix Bahrain kerana hak komersial dan identiti perlumbaan dikekalkan di bawah Bahrain.

Perkembangan itu disifatkan sebagai situasi menang-menang buat kedua-dua negara. Bahrain berjaya memastikan perlumbaan mereka diteruskan tanpa gangguan, manakala Malaysia kembali menjadi tuan rumah Formula 1 selepas kali terakhir menganjurkan perlumbaan itu pada tahun 2017.

Pendedahan Sultan Ibrahim turut memperlihatkan bagaimana hubungan diplomatik di peringkat tertinggi mampu membuka ruang kepada kerjasama antarabangsa dalam bidang sukan, sekali gus mengembalikan salah satu acara sukan permotoran paling berprestij dunia ke Litar Antarabangsa Sepang.

The post YDPA Jadi Watak Penting Kepulangan F1 ke Malaysia, Hubungan Akrab Dengan Raja Bahrain Buka Laluan Perjanjian Bersejarah appeared first on TW Media.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved