YDPA Perkenan Tempoh Kemuka Gabungan & Calon PM Dilanjut 2 Petang Esok

Politics
21 Nov 2022 • 1:43 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Tempoh bagi ketua parti politik dan gabungan parti untuk mengemukakan gabungan parti serta calon Perdana Menteri di Istana Negara dilanjutkan sehingga 2 petang esok.

Perutusan rasmi Istana Negara memaklumkan, lanjutan tempoh tersebut adalah di bawah perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Adalah dimaklumkan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah menzahirkan titah perkenan supaya proses bagi ketua parti-parti politik dan gabungan parti-parti politik mengemukakan gabungan parti-parti politik pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 dilanjutkan sehirgga jam 2.00 petang esok (Selasa, 22 November 2022).

“Titah perkenan Seri Paduka Baginda itu adalah susulan daripada permohonan-permohonan daripada ketua parti-parti politik dan gabungan parti-parti politik yang telah diterima oleh pihak lstana Negara hari ini.

“Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda menyeru dan menasihati seluruh rakyat bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 selesai,” memetik kenyataan Istana Negara hari ini.

YDPA menerusi perutusan rasmi Istana Negara turut menitahkan rakyat untuk mendoakan semoga Malaysia dirahmati, diberkati serta dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah.

Imbas kembali, YDPA pada semalam bertitah bahawa tempoh penyerahan gabungan parti politik adalah selewat-lewatnya pada pukul 2 petang hari ini.

PRU15 semalam menyaksikan Pakatan Harapan (PH) memperoleh 82 kerusi Parlimen, Perikatan Nasional (73), manakala Barisan Nasional (30).

Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan adalah 112 kerusi.

Berita lanjut menyusul.

image is not available
Sumber: Istana Negara

Sumber: Istana Negara