Yeyen, si pencuri selipar jiran

17 Oct 2026 • 9:45 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Yeyen, si pencuri selipar jiran

SETIAP pagi, rutin Yeyen ialah memburu selipar yang berada di sekitar rumah pemiliknya.

Tabiat pelik kucing parsi berusia lima tahun itu bukan hanya melibatkan selipar ahli keluarga pemiliknya, malah jiran-jiran di sekitar kawasan perumahan.

Perkara itu pula bukan berlaku sekali dua, sebaliknya sudah dilakukan sejak lebih setahun lalu.

Setiap kali Yeyen membawa pulang selipar jiran-jiran, Noraini Darus, 56, terpaksa mencari pemilik asalnya.

Dia akan berkongsi gambar dalam kumpulan WhatsApp taman perumahan mengenai selipar yang dicuri si manjanya.

“Kalau ada yang mengaku, saya akan memulangkan kembali barangan itu di rumah mereka.

“Jika tiada yang tuntut, saya susun semua di depan rumah. Siapa yang rasa itu selipar dia, boleh datang ambil,” jelasnya.

Perbuatan Yeyen itu tidak menimbulkan masalah kepada jiran, malah kebanyakannya sudah memahami gelagat kucing berkenaan dan menganggapnya sebagai sesuatu yang menghiburkan.

“Setakat ini positif sahaja, jiran-jiran pun banyak yang gelak-gelak dan anggap perangai Yeyen menghiburkan,” katanya.

Paling mengejutkan, kucing itu pandai menyeberangi pagar untuk masuk ke kawasan taman perumahan di belakang rumah sebelum mencari selipar yang boleh dibawa pulang.

Kata Noraini, Yeyen mula dipeliharanya ketika berusia tiga bulan selepas diberikan oleh kawan anaknya.

Katanya, kucing itu sangat pemalu dan lebih banyak mendiamkan diri apabila bertemu orang, terutama ketika berada di luar rumah.

Image from: Yeyen, si pencuri selipar jiran

Aktif seawal 5 pagi
Yeyen biasanya mula aktif seawal pukul 5 hingga 5.30 pagi dan antara perkara yang dilakukannya ialah mengejutkan pemiliknya daripada tidur.

Jika Noraini masih belum bangun, Yeyen akan menggunakan helah menggaru kepala dan rambut sehingga pemiliknya terpaksa membuka mata.

“Kalau saya tidak bangun, nanti ia mula menggaru-garu kepala dan rambut saya. Jadi, suka atau tidak, saya terpaksa bangun juga,” katanya.

Yeyen turut aktif pada waktu malam ketika keadaan rumah sudah gelap dan semua orang mula tidur.

Ketika itu, pelbagai aktiviti yang berlaku tanpa disedari keluarga sebelum hasil perbuatannya ditemui apabila mereka bangun keesokan pagi.

“Bila bangun pagi, selipar boleh ada di tangga dan dalam bilik air,” ujarnya.

 

 

Beg kertas jadi mainan
Bagi Yeyen, mainan kucing yang dibeli khas bukanlah sesuatu yang menarik perhatiannya.

Kucing itu lebih gemar bermain dengan benda yang mudah ditemui di rumah, terutama beg kertas atau plastik yang boleh memuatkan badannya.

Menurut Noraini, Yeyen juga seolah-olah tidak teruja melihat kucing lain bermain dengan bola dan lebih selesa melihat dari jauh.

“Tetapi kalau beg kertas yang besar, ia masuk, keluar dan bermain-main di situ,” ujarnya.

Selain beg kertas, Yeyen turut aktif apabila ternampak cicak atau serangga di dalam rumah.

Malah, kucing itu sanggup memanjat dinding yang tingginya lebih satu meter semata-mata untuk mengejar haiwan kecil yang menarik perhatiannya.

Image from: Yeyen, si pencuri selipar jiran

Bawa keceriaan, motivasi
Paling menyentuh hati Noraini apabila mengetahui kucingnya itu turut membawa kegembiraan kepada orang lain.

Ramai pengikut sering meninggalkan komen mereka merindui Yeyen dan menunggu video baharu mengenai aktiviti kucing tersebut.

Lebih menyentuh hati, seorang pesakit strok yang ketika itu dirawat di hospital turut mengikuti perkembangan Yeyen menerusi video yang dikongsikan.

Pesakit berkenaan yang ketika itu belum mampu berjalan menonton video Yeyen setiap hari, termasuk mengulang semula video lama.

“Dia tak boleh jalan dan hanya duduk di hospital. Hari-hari dia tengok aktiviti Yeyen, ulang video-video lama.

“Siapa sangka dia akhirnya boleh berjalan dan datang ke sesi meet and greet semata-mata untuk berjumpa Yeyen,” katanya.

Bagi Noraini, pengalaman itu membuktikan gelagat Yeyen yang pada mulanya sekadar menghiburkan keluarga turut mampu memberi kegembiraan dan motivasi kepada orang lain.

The post Yeyen, si pencuri selipar jiran appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved