KUALA SELANGOR, 17 MAC: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) mempelawa pertubuhan kebajikan berdaftar bawah agensi berkenaan bagi memastikan semua anak yatim di Selangor dibantu.
Pengerusinya Tan Sri Mazlan Mansor berkata ketika ini masih ada rumah anak yatim enggan berdaftar atas beberapa sebab seperti masalah birokrasi dan tidak memiliki permit sah.
“Banyak lagi anak yatim tidak berdaftar dengan Yide dan ada juga rumah anak yatim enggan berdaftar. Saya berharap mereka daftar dan sama-sama kita santuni anak yatim.
“Mungkin mereka hadapi kekangan, namun begitu kita sentiasa terima kehadiran mereka jika mereka mahu daftar dengan Yide,” katanya ketika ditemui pemberita.

Terdahulu, beliau mengiringi Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor ke majlis penyampaian sumbangan Aidilfitri kepada anak yatim di Masjid Taman Alam Jaya, Puncak Alam di sini semalam.
Dalam majlis itu, Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli menyerahkan sumbangan Yide berjumlah RM165,300 kepada 1,102 anak yatim daerah Kuala Selangor.
Hadir sama Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Senator Dato’ Setia Salehuddin Saidin.
Sementara itu, Mazlan menjangkakan jumlah penerima sumbangan Yide akan bertambah pada tahun hadapan selaras usaha agensi itu menggalakkan pendaftaran rumah anak yatim.
“Setiap tahun memang angka penerima bertambah. Tahun ini kita ada hampir 13,000 anak yatim dan kita jangka jumlah itu bertambah tahun depan,” katanya.

The post Yide saran rumah anak yatim berdaftar, pastikan semua dibantu appeared first on Selangorkini.

