Yinson GreenTech, Langkawi Port rintis operasi feri elektrik pertama Malaysia

LocalTechnology
1 Oct 2026 • 5:02 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Yinson GreenTech, Langkawi Port rintis operasi feri elektrik pertama Malaysia Image from: Yinson GreenTech, Langkawi Port rintis operasi feri elektrik pertama Malaysia liza01/10/2026 - 17:02 Kerjasama itu dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) bagi mewujudkan rangka kerja pembangunan Projek Feri Elektrik Langkawi, yang dicadangkan sebagai perkhidmatan feri penumpang komersial elektrik sepenuhnya di laut terbuka pertama Malaysia Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 1 Okt – Langkawi dan Kuala Perlis bakal menjadi laluan perintis bagi projek feri penumpang elektrik sepenuhnya di laut terbuka, susulan kerjasama Yinson GreenTech (YGT) dan Langkawi Port Sdn Bhd (LPSB) untuk membangunkan perkhidmatan berkenaan.

 

Kerjasama itu dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) bagi mewujudkan rangka kerja pembangunan Projek Feri Elektrik Langkawi, yang dicadangkan sebagai perkhidmatan feri penumpang komersial elektrik sepenuhnya di laut terbuka pertama Malaysia.

 

Projek itu akan melibatkan penggunaan feri yang dibangunkan khusus untuk perjalanan antara Kuah, Langkawi dan Kuala Perlis, dengan sokongan kemudahan pengecasan di darat serta teknologi marin bersepadu.

 

Menerusi kerjasama berkenaan, YGT akan menyediakan kapal melalui aturan pajakan, manakala LPSB bertanggungjawab mengendalikan perkhidmatan feri.

 

Tenaga Nasional Berhad (TNB) pula akan membangunkan infrastruktur bekalan kuasa dan pengecasan bagi menyokong operasi kapal elektrik berkenaan.

 

Kerjasama tiga pihak

Ketiga-tiga pihak akan bekerjasama dengan agensi kerajaan, penyedia infrastruktur serta pihak berkepentingan lain untuk memenuhi keperluan teknikal, operasi, kawal selia dan komersial sebelum pelaksanaan projek.

 

Projek itu diberi mandat sebagai Projek Keutamaan Negara dan disokong oleh Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kewangan serta Jabatan Laut Malaysia.

 

Guna teknologi Hydroferry

Feri yang dicadangkan akan menggunakan platform Hydroferry milik marinEV yang dibangunkan khusus untuk pengangkutan penumpang berkuasa elektrik.

 

Kapal itu akan dilengkapi sistem pendorongan elektrik dan penyimpanan tenaga di atas kapal, selain teknologi digital bersepadu marinEV serta keupayaan operasi autonomi dan kawalan jarak jauh yang dibangunkan oleh Zeabuz.

 

t
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyaksikan Pengarah Urusan marinEV Jan-Viggo Johansen dan Pengurus Besar LPSB  Muhd Nasir Abdul Aziz menandatangani MoU untuk membentuk rangka kerja kerjasama bagi Projek Feri Elektrik Langkawi.

 

Bagi marinEV, pembangunan Hydroferry turut memperluas portfolio kapal elektriknya kepada pengangkutan penumpang selepas sebelum ini membangunkan Hydromover untuk kargo dan logistik marin serta Hydroglyder bagi pemindahan kru.

 

Hydromover kini telah berkembang daripada peringkat pembangunan teknologi dan ujian kepada operasi komersial di Singapura.

 

Sokong peralihan tenaga

Perkhidmatan itu akan melengkapkan hubungan pengangkutan sedia ada antara Langkawi dan tanah besar Malaysia, selain menunjukkan bagaimana kapal elektrik, pengecasan di darat serta teknologi digital boleh digabungkan dalam operasi pengangkutan penumpang harian.

 

Kerjasama berkenaan turut menyokong usaha Malaysia dalam peralihan tenaga dan penyahkarbonan sektor maritim, selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

 

NETR mengenal pasti pengangkutan marin sebagai antara sektor yang boleh dinyahkarbonkan, dengan sasaran 40% penggunaan bahan api hijau dalam sektor berkenaan menjelang 2050.

 

Pengurus Besar Langkawi Port Sdn Bhd, Muhd Nasir Abdul Aziz berkata kerjasama itu akan membantu menyediakan hubungan maritim yang lebih bersih dan menyokong komuniti tempatan, sektor pelancongan serta agenda elektrifikasi maritim Malaysia.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan marinEV, Jan-Viggo Johansen, berkata pengalaman syarikat membangunkan dan mengendalikan kapal elektrik di Singapura akan digunakan untuk pengangkutan penumpang di Malaysia.

 

Menurutnya, projek itu menggabungkan kapal, kemudahan pengecasan, teknologi digital dan model operasi bagi membangunkan penyelesaian yang boleh digunakan secara praktikal dalam operasi komersial harian.

 

Beliau berkata marinEV bersama LPSB dan pihak berkepentingan lain akan memberi tumpuan kepada pembangunan penyelesaian yang praktikal serta boleh diperluaskan bagi menyokong penggunaan pengangkutan marin elektrik secara lebih meluas.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved