Yinson Production terbitkan bon RM5.95 bilion biayai semula hutang kapal FPSO Agogo

Business & Finance
7 Oct 2026 • 5:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Yinson Production terbitkan bon RM5.95 bilion biayai semula hutang kapal FPSO Agogo Image from: Yinson Production terbitkan bon RM5.95 bilion biayai semula hutang kapal FPSO Agogo amree07/10/2026 - 17:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 7 Okt — Yinson Production menerbitkan bon AS$1.458 bilion (RM5.95 bilion) menerusi nota bercagar bagi membiayai semula hutang berkaitan FPSO Agogo, dan menjadikan sekuriti hutang projek kapal minyak mentah terapung yang terbesar setakat ini.

 

Penerbitan tersebut dibuat oleh Yinson Azalea Production Pte Ltd, syarikat yang memiliki FPSO Agogo, dengan nota itu mempunyai tempoh matang berjadual selama tempoh 13.3 tahun dan kadar kupon tetap kira-kira 6.517% setahun, dibayar setiap setengah tahun.

 

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, harga nota itu adalah 98.164% daripada nilai prinsipal dan dijangka diselesaikan pada 21 Oktober 2026, dengan permohonan turut dibuat untuk disenaraikan dan didagangkan di International Securities Market Bursa Saham London.

 

"Hasil penerbitan akan digunakan antara lain untuk membiayai semula hutang sedia ada FPSO Agogo, membiayai akaun rizab seperti yang ditetapkan di bawah penerbitan bon baharu serta menampung yuran dan perbelanjaan berkaitan transaksi," jelas Yinson Production.

 

Syarikat perniagaan tenaga luar pesisir di bawah Yinson Holdings Berhad itu menambah, sebahagian daripada lebihan hasil turut boleh digunakan bagi pengagihan kepada pemegang ekuiti, selepas mengambil kira keperluan pembiayaan dan rizab yang ditetapkan.

 

FPSO Agogo merupakan antara kapal pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) yang tercanggih dalam industri petroleum dan kini disewakan kepada firma Azule Energy Angola SpA untuk beroperasi di perairan Blok 15/06, kawasan luar pesisir Angola.

 

Yinson_DagangNews2026

 

Kapal tersebut ujar Yinson Production, beroperasi di bawah pajakan sebagai 'bareboat' selama 15 tahun, dengan pilihan lanjutan sehingga tempoh lima tahun, sekali gus menyediakan asas aliran tunai jangka panjang bagi projek kapal berkenaan.

 

"Nota tersebut menerima penarafan kredit jangkaan BBB+ daripada Fitch dan Baa2 daripada Moody's, yang mencerminkan asas kredit kukuh FPSO Agogo serta kepentingannya kepada penyewa dan rantaian nilai minyak dan gas (O&G) luar pesisir," katanya.

 

Ketua Pegawai Kewangan Yinson Production, Markus Wenker berkata, penerbitan itu merupakan bon projek FPSO ketiga syarikat tersebut dalam tempoh tiga tahun dan menetapkan penanda aras baharu sebagai bon projek FPSO yang paling besar setakat ini.

 

Beliau berkata transaksi itu juga merupakan bon projek FPSO pertama di luar Brazil, sekali gus meluaskan pilihan pelaburan kepada pelabur yang mencari pendedahan kepada aset infrastruktur dengan aliran tunai yang jelas dan rakan niaga berprofil kukuh.

 

Yinson Production kini memiliki dan mengendalikan 11 FPSO yang turut dilengkapi pelbagai teknologi moden, dengan nilai tempahan kira-kira AS$19 bilion (RM77.67 bilion) sehingga 2050 serta kehadiran di 12 negara. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved