hamden05/10/2026 - 18:16 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Okt - Yinson Holding Berhad menerusi anak syarikatnya Yinson Production (West Africa) Pte. Ltd. (YPWAPL) and Yinson Production (West Africa) Ltd (YPWAL), menandatangani pindaan kontrak dengan Eni bagi melaksanakan projek pengubahsuaian utama Gas Bukan Berkaitan (NAG) pada kapal pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) John Agyekum Kufuor (FPSO JAK) yang beroperasi di perairan luar pesisir Ghana.
Pindaan kontrak itu ditandatangani pada 2 Oktober 2026 dan melibatkan kerja pengubahsuaian bahagian atas kemudahan (topside) bagi memperluaskan dengan ketara keupayaan pengendalian serta pemprosesan gas FPSO JAK.
Yinson dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, objektif utama projek pengubahsuaian NAG itu adalah untuk memasang sistem pemampatan gas bagi menangani jangkaan penurunan tekanan takungan, selain meningkatkan kapasiti eksport gas FPSO JAK daripada kira-kira 210–220 juta kaki padu piawai sehari (MMscf/d) kepada 355 MMscf/d.
Peningkatan kapasiti itu dijangka memperkukuh bekalan gas domestik dan menyokong keselamatan tenaga serantau Ghana.
Sebagai sebahagian daripada pindaan kontrak berkenaan, tempoh pajakan tetap FPSO JAK turut dilanjutkan selama empat tahun sehingga 2036.
Selepas kerja pengubahsuaian selesai, pindaan kontrak itu akan menjana kadar harian tambahan sehingga 2036.
YPWAPL dan YPWAL merupakan anak syarikat yang mana Yinson masing-masing memegang kepentingan ekuiti sebanyak 74% dan 49%.
Pengubahsuaian siap 2028
Yinson berkata projek pengubahsuaian NAG dijangka siap pada suku pertama 2028 dan melibatkan fabrikasi serta integrasi dua modul utama bahagian atas kemudahan yang direka untuk meningkatkan kapasiti pengendalian gas FPSO JAK.
Ia membabitkan modul MG2 yang dilengkapi dua pemampat dipacu turbin gas dan modul MC4, iaitu modul rawatan gas tambahan yang direka untuk mengendalikan jumlah gas lebih tinggi.
Aktiviti kejuruteraan, perolehan dan fabrikasi bagi modul MG2 dan MC4 akan dilaksanakan mengikut piawaian keselamatan dan kualiti luar pesisir yang ketat bagi memastikan kesinambungan operasi serta integriti aset sepanjang pelaksanaan projek.
Ketua Pegawai Eksekutif Yinson Production, Flemming Guiducci Grønnegaard, berkata pindaan kontrak projek pengubahsuaian NAG pada FPSO JAK merupakan pencapaian penting dalam kerjasama syarikat dengan Eni, rakan usaha sama dan sektor tenaga Ghana.
“Dengan meningkatkan kapasiti eksport gas, kami memperkukuh infrastruktur tenaga luar pesisir yang boleh dipercayai, menyokong keperluan tenaga domestik Ghana serta membantu melanjutkan hayat ekonomi medan tersebut,” katanya.
Pindaan kontrak itu turut meningkatkan buku kontrak teguh Yinson Production kira-kira AS$600 juta (RM2.52 bilion), hasil daripada kadar harian tambahan dan lanjutan kontrak selama empat tahun.
FPSO JAK dimiliki oleh usaha sama yang diterajui Yinson Production, yang memegang pegangan ekuiti kawalan sebanyak 74%.
Baki 26% pegangan dimiliki konsortium Jepun yang terdiri daripada Sumitomo Corporation, Kawasaki Kisen Kaisha Ltd. (“K” LINE), JGC Holdings Corporation dan Development Bank of Japan Inc. (DBJ). - DagangNews.com


