
TANJUNG MALIM – Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai di sini mencipta sejarah apabila bakal melepaskan seekor harimau belang betina yang dinamakan Yong Choh ke habitat asal iaitu kawasan hutan tebal pada awal bulan depan.
Menurut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, tujuan NWRC ialah haiwan yang berada dalam jagaan pusat tersebut dikembalikan ke habitat semulajadi.
“Jika terlalu biasa diberikan makan tiap-tiap hari, haiwan tidak dapat berdikari. Kita akan menilai kembali kesesuaian haiwan itu, kena pastikan keselamatan sebelum melepaskannya ke habitat yang asal.
“Yong Choh agak sihat, tenaga agak kuat dan baru saya melawat sebentar tadi, mempunyai semangat dan juga keganasan yang kita yakin bolehlah berdikari sekiranya dilepaskan ke habitat asal,” katanya di NWRC, Sungkai di sini hari ini. Terdahulu, beliau terlibat dalam program Lawatan Turun Padang ke NWRC yang turut disertai Ketua Pengarah Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim.
Arthur menjelaskan, pihaknya merancang pada bulan depan untuk melepaskan Yong Choh di kawasan hutan tebal semula jadi di sebuah negeri di Semenanjung.
“Yong Choh ini dia memang berasal daripada kawasan habitat asal. Itulah sebab mempunyai ciri-ciri dan juga sifat yang mudah untuk kita melepaskan kembali ke kawasan hutan,” katanya.
Harimau tersebut memasuki perangkap yang dipasang oleh Perhilitan Perak berdekatan Sungai Choh, Hulu Kinta di Ipoh pada bulan lalu. – KOSMO! ONLINE
The post Yong Choh sihat, bakal dilepaskan ke habitat asal appeared first on Kosmo Digital.

