Yonnyboii, Kaka Azraff bergabung pertama kali menerusi Lepaskan

Music
11 Sep 2026 • 4:02 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Yonnyboii, Kaka Azraff

PETALING JAYA: Yonnyboii dan Kaka Azraff bergabung buat kali pertama menerusi single terbaharu berjudul Lepaskan, sebuah karya pop sarat emosi yang mengangkat tema keberanian untuk melepaskan beban, luka dan perkara yang terlalu lama dipendam.

Menurut Kaka, Lepaskan pada asalnya tidak dirancang sebagai single duet, sebaliknya lagu berkenaan ditulis oleh beliau bersama Yonnyboii ketika menghasilkan album MPT miliknya yang dilancarkan pada Februari lalu.

Katanya, proses penghasilan lagu tersebut sempat terhenti selepas mereka merasakan karya itu agak mencabar untuk dibawakan secara solo, terutama dari segi stamina dan vokal ketika persembahan.

“Lepaskan sebenarnya terjadi secara spontan. Masa itu Kaka di studio Yonny dan kami memang tak datang dengan satu konsep yang terlalu rigid.

“Bila mula berbual dan masuk dalam proses menulis, melodi dan lirik itu macam keluar sendiri,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Kaka, perkataan ‘lepaskan’ turut menggambarkan emosi yang dirasainya ketika proses penulisan, khususnya mengenai usaha melepaskan sakit, beban, dendam dan perkara yang terlalu lama tersimpan dalam hati.

Sementara itu, Yonnyboii melihat potensi besar pada karya berkenaan dan enggan membiarkannya begitu sahaja.

Katanya, selepas mempertimbangkan beberapa pilihan termasuk mencari penyanyi lain, beliau akhirnya mengambil keputusan untuk menjadikan Lepaskan sebagai single yang menampilkan mereka berdua.

“Saya rasa lagu ini ada banyak potensi dan saya tak nak ia sekadar jadi satu lagi lagu dalam album.

Saya rasa lagu ini layak untuk dikeluarkan sebagai single, jadi saya ambil lagu ini dan buat ia berlaku,” katanya.

Keputusan tersebut membawa kepada versi duet yang memberikan dimensi baharu kepada Lepaskan, dengan kehadiran Yonnyboii bukan sekadar melengkapkan bahagian vokal, malah membantu mengembangkan perjalanan emosi lagu berkenaan.

Lepaskan kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital.

The post Yonnyboii, Kaka Azraff bergabung pertama kali menerusi Lepaskan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved