Siri animasi One Piece yang dihasilkan oleh syarikat animasi Jepun, Toei Animation, merupakan antara siri anime terpanjang dan paling diminati peminat anime di seluruh dunia. Sejak ditayangkan pada tahun 1999, ia telah menarik jutaan penonton dengan kisah pengembaraan Luffy dan kru Topi Jeraminya.
Namun, tidak semua orang mampu menghabiskan ribuan episod dalam masa yang singkat. Bagi sesetengah individu, menonton beberapa episod sahaja sudah menjadi cabaran. Tetapi bagi seorang YouTuber bernama Alex Onay, perkara mustahil itu menjadi satu cabaran yang berjaya ditempuh.
Dalam satu cabaran, Alex mendakwa berjaya menonton lebih 1,100 episod One Piece dalam masa hanya 24 jam. Kedengaran mustahil? Rahsianya, dia memainkan 12 episod serentak pada skrin berbeza!
Menurutnya, dorongan utama untuk mencuba cabaran ini adalah kerana pengaruh rakannya yang merupakan peminat tegar One Piece. Rakan tersebut sering menyatakan bahawa One Piece adalah karya terbaik pernah wujud.
“Saya mulanya keliru dengan jalan cerita dan watak-wataknya. Tapi bila saya jawab kuiz tentang One Piece, barulah saya mula faham apa yang berlaku,” katanya.
Alex turut berkongsi teknik unik yang digunakan.
“Kalau saya tak lulus kuiz One Piece ni, saya kena ulang balik semua ni! Jadi saya guna teknik belajar tahap Harvard: chunk and rotate. Fokus satu skrin dulu, faham sikit-sikit, kemudian tukar ke skrin lain. Saya juga buat peta minda, supaya saya boleh faham cerita yang berlaku serentak.”
Menjelang jam ke-20, Alex mengaku mula berasa seolah-olah sedang halusinasi akibat keletihan. Namun akhirnya dia berjaya menghabiskan tontonan tersebut.
Apa yang lebih menarik, selepas menjawab kuiz itu, rakannya tidak menyemak jawapan, sebaliknya mereka berbual tentang One Piece selama dua jam. Di situlah Alex menyedari sesuatu yang lebih mendalam, iaitu berkongsi minat yang sama dengan rakan lebih bernilai dari cabaran menonton 1,000 episod.
“Mungkin One Piece sebenar adalah persahabatan yang kita cipta sepanjang perjalanan,” katanya.
The post YouTuber berjaya tamatkan 1,100 episod One Piece dalam masa 24 Jam appeared first on The Reporter.
