YouTuber & Pekerja Muzium Mohon Maaf Selepas Dakwa Upin & Ipin Berasal Dari Indonesia [Video]

Entertainment
22 May 2026 • 1:08 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: YouTuber & Pekerja Muzium Mohon Maaf Selepas Dakwa Upin & Ipin Berasal Dari Indonesia [Video]

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Isu tular yang mendakwa animasi Upin & Ipin berasal dari Indonesia dalam sebuah sedutan video temubual baru-baru ini nyata mencetuskan perdebatan di media sosial.

Menyedari kekecohan yang berlaku, YouTuber Indonesia, Frans Sanjaya dan seorang pekerja muzium dikenali sebagai Sadan tampil membuat permohonan maaf susulan kenyataan mereka mengenai animasi dari Malaysia itu.

YouTuber & Pekerja Muzium Mohon Maaf, Akui Kekhilafan Dakwa Upin & Ipin Asal Dari Indonesia

Permohonan maaf itu dibuat oleh mereka dalam sebuah video yang dimuat naik di YouTube Frans Sanjaya.

Menerusi video berkenaan, Frans dan Sadan mengakui kekhilafan mereka yang mendakwa hak cipta asal Upin & Ipin yang kononnya dikenali sebagai Arifin dibeli oleh syarikat produksi dari Malaysia pada tahun 2008.

“Kami ingin memohon maaf sebesar-besarnya kepada rakyat Malaysia dan Indonesia atas salah faham serta kekeliruan yang telah kami timbulkan,” katanya.

Menceritakan kembali, Frans menjelaskan dia pada ketika itu berkunjung ke Muzium Gubug Wayang, Mojokerto untuk mengenali lebih dalam tentang budaya tempatan manakala Sadan merupakan pemandu pelancongnya (tour guide).

Namun jelas Frans, mereka tiada niat untuk mendakwa animasi Upin & Ipin berasal dari Indonesia.

“Kami tidak mengklaim (mendakwa) Upin & Ipin itu milik Indonesia. Kita tahu, satu dunia tahu lesen dan hak cipta Upin & Ipin milik Malaysia,” jelasnya.

Anggap Komen Sebagai Teguran Membina

Pada masa yang sama, Sadan menganggap komen yang diterima sebagai teguran membina untuk menjadi lebih baik dan berhati-hati pada masa hadapan.

“Dari Muzium Gubug Wayang, saya mewakili pihak pengurusan dan pengarah, memohon maaf sebesar-besarnya atas kenyataan yang dikeluarkan ketika saya menjawab pertanyaan dari Frans sehingga menimbulkan perdebatan di media sosial.

“Sekali lagi, dari kenyataan saya yang lepas, saya secara peribadi dan Gubug Wayang, memohon maaf,” kata Sadan.

Frans juga turut menzahirkan ucapan maaf berhubung isu animasi Upin & Ipin yang timbul baru-baru ini.

“Mohon dimaafkan. Mari kita berdamai kembali. Bergandingan tangan kembali. Indonesia, Malaysia, kita serumpun.

“Kita berjiran dan kami tidak bermaksud untuk mengklaim apa-apa pun, untuk merendahkan sesiapa. Kami minta maaf setiap perkataan yang terlontar dari mulut kami,” kata Frans.

Sebelum ini, tular di media sosial sedutan video temubual Frans bersama Sadan yang mendakwa Upin & Ipin berasal dari negara Indonesia.

Kenyataan kontroversi itu kemudiannya mendapat maklum balas daripada syarikat Les’ Copaque yang menegaskan bahawa Upin & Ipin adalah karya asli milik penuh syarikat berkenaan.

Baca Artikel Berkaitan: Les’ Copaque Nafi Dakwaan Animasi Upin & Ipin Berasal Dari Indonesia [Video]

Baca Artikel Berkaitan: Tular Dakwaan Konon Upin & Ipin Adalah Cerita Sebenar & Kuburnya Di Indonesia, Ini Respon Founder Les’ Copaque

View Original Article