
PETALING JAYA: Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) terus memberi tumpuan kepada usaha menjana dana bagi membiayai program pendidikannya yang memerlukan peruntukan kira-kira RM350,000 setahun.
Pengerusinya, Tunku Temenggong Kedah, Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim bertitah, program pendidikan yayasan itu berkembang sejak tiga dekad lalu dengan memberi manfaat kepada pelajar menerusi pelbagai inisiatif termasuk tuisyen, Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), robotik dan kecerdasan buatan (AI).
Titahnya, sokongan berterusan daripada penderma, sukarelawan, kerajaan negeri serta syarikat korporat menjadi antara faktor yang membolehkan YSB melaksanakan pelbagai program untuk masyarakat sejak penubuhannya 30 tahun lalu.
“Objektif Pertandingan Golf Amal pada hari ini adalah untuk mengumpul dana bagi membiayai program pendidikan YSB yang memerlukan peruntukan sebanyak RM350,000 setahun.
“Sempena sambutan ulang tahun ke-30 YSB pada tahun ini, patik berasa bangga dengan perjalanan dan pencapaian yayasan sepanjang tiga dekad lalu. Alhamdulillah, pertandingan pada tahun ini berjaya mengumpul sebanyak RM242,000 dalam bentuk tunai dan barangan.

“Pencapaian yang membanggakan ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa kemurahan hati, komitmen dan dedikasi semua pihak yang telah memberikan sumbangan,” titahnya sempena Pertandingan Golf Amal YSB 2026 di Tropicana Golf & Country Club, baru-baru ini.
Kejohanan yang disertai 80 pemain itu menerima tajaan antaranya daripada Yayasan Muhibah Tan Sri Fng Ah Seng sebanyak RM50,000, HMS Realty Sdn. Bhd. (RM30,000), Tropicana Golf & Country Resort (RM20,760) dan Geliga Global Sdn. Bhd. (RM20,000).
Mengenai Projek Titian Bistari, titahnya, program yang dilancarkan pada 1999 itu pada asalnya merupakan kelas tuisyen percuma untuk murid sekolah rendah dari kawasan luar bandar di Kedah bagi membantu meningkatkan pencapaian akademik dan membuat persediaan menghadapi peperiksaan.
Titahnya, program berkenaan ditransformasikan pada 2019 dengan memperkenalkan modul pembelajaran berasaskan STEM menerusi kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Kedah selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.
“Sepanjang 27 tahun lalu, Projek Titian Bistari telah memberi manfaat kepada lebih 53,480 pelajar dari 46 sekolah di 12 daerah di Kedah.
“Menerusi kerjasama dengan Yayasan UEM dari 2022 hingga 2024, YSB turut memperkenalkan Program Jelajah STEM dalam Robotik yang memberi pendedahan secara praktikal mengenai robotik, pengekodan dan kecerdasan buatan kepada 600 pelajar tingkatan satu hingga tiga,” titahnya.
Dalam pada itu, YSB turut melaksanakan Projek Sekolah Lestari menerusi geran RM500,000 daripada Yayasan Hasanah dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dari 2019 hingga 2022.
Program berkenaan menggalakkan amalan kitar semula dan konsep 5R serta melibatkan lebih 120 sekolah menengah di Kedah.
Selain itu, YSB bekerjasama dengan Yayasan IMPAK menyediakan kelas tuisyen Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) secara percuma kepada pelajar tingkatan lima di seluruh Kedah yang sehingga tahun ini melibatkan lebih 250 sekolah serta 215,000 pelajar. – UTUSAN
The post YSB kumpul RM242,000 biayai program pendidikan appeared first on Utusan Malaysia.






