
YTL AI Labs telah melancarkan Cikgu ILMU, iaitu platform pembelajaran berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang direka untuk membantu ibu bapa di Malaysia membimbing pelajaran anak-anak di rumah.
Dikuasakan oleh model AI tempatan ILMU, aplikasi percuma ini dibangunkan berteraskan silibus sekolah kebangsaan Malaysia. Ia boleh digunakan untuk membantu anak-anak menyiapkan kerja rumah, mengulang kaji, serta membuat persediaan menghadapi peperiksaan.
Majlis pelancarannya telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, sempena program “AI Temu AI” yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Dibangunkan berdasarkan silibus sekolah di Malaysia

Apa yang membezakan Cikgu ILMU daripada chatbot AI generik ialah ia dibangunkan berdasarkan kurikulum kebangsaan Malaysia, merangkumi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dari Tahun 1 hingga Tingkatan 5.
Menurut YTL AI Labs, AI generik mungkin mampu memberikan jawapan yang kelihatan betul, namun penerangannya tidak semestinya selaras dengan apa yang dipelajari oleh anak-anak di sekolah. Tetapi dengan Cikgu ILMU, setiap penerangan direka supaya selari dengan objektif pembelajaran, istilah yang digunakan dalam buku teks Malaysia serta konteks mata pelajaran tempatan.

Dengan itu, ibu bapa boleh mendapat panduan yang lebih tepat untuk membantu anak membuat persediaan peperiksaan atau menyelesaikan tugasan sekolah.
Selain itu, Cikgu ILMU menyokong keempat-empat bahasa yang digunakan dalam sistem persekolahan Malaysia, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil. Sebagai contoh, ibu bapa boleh mengambil gambar soalan kerja rumah Bahasa Inggeris anak mereka dan meminta Cikgu ILMU menerangkannya dalam Bahasa Melayu.
Selain sokongan pelbagai bahasa, ia turut mempunyai fungsi audio, di mana ibu bapa boleh menggunakan suara untuk bertanyakan soalan dan mendengar penerangan dalam bahasa pilihan masing-masing.
Empat fungsi AI untuk bantu pembelajaran anak

Cikgu ILMU menyediakan empat alat pembelajaran utama yang boleh digunakan oleh ibu bapa untuk membantu anak-anak belajar dan membuat ulang kaji.
- Bantuan Kerja Rumah (Homework Help): Ibu bapa hanya perlu mengambil gambar soalan kerja rumah atau tulisan tangan anak, dan AI akan memberikan penerangan secara langkah demi langkah, bukan sekadar memberi jawapan akhir.
- Panduan Pembelajaran (Study Guides): Menukarkan sesuatu topik kepada nota ringkas lengkap dengan konsep utama, penerangan, rajah, serta soalan latihan yang boleh dicetak untuk ulang kaji luar talian.
- Kuiz Pantas (Quick Quiz): Menjana kuiz secara automatik, menyemak jawapan, dan menganalisis tahap penguasaan anak pada sesuatu topik.
- Kad Imbasan (Flashcards): Menghasilkan kad imbasan interaktif lengkap dengan fungsi bacaan audio bagi membantu anak mengingati fakta dan konsep penting.
Anak belajar tanpa berinteraksi terus dengan AI

Cikgu ILMU direka dengan kawalan ibu bapa sebagai keutamaan, jadi anak-anak tidak perlu berinteraksi terus dengan chatbot AI.
Ibu bapa menggunakan AI untuk mendapatkan penerangan konsep dan menjana aktiviti pembelajaran, manakala anak-anak melengkapkan aktiviti tersebut melalui antara muka berasingan yang bebas daripada interaksi AI.
Selepas aktiviti disiapkan, AI menyemak jawapan secara automatik dan menganalisis prestasi anak, seterusnya menyediakan laporan kepada ibu bapa tentang kekuatan serta aspek yang perlu dipertingkatkan. Menurut YTL AI Labs, pendekatan ini memastikan ibu bapa kekal terlibat dan mengawal bagaimana AI digunakan.
Cikgu ILMU ditawarkan secara percuma kepada ibu bapa
Cikgu ILMU akan ditawarkan secara percuma kepada ibu bapa di Malaysia, dan boleh diakses melalui aplikasi ILMUchat yang boleh dimuat turun di Apple App Store dan Google Play Store.
Maklumat lanjut mengenai inisiatif ini boleh didapati melalui laman rasmi Cikgu ILMU.






