
Kemahiran menulis merupakan antara kemahiran asas yang penting sebelum kanak-kanak melangkah ke alam persekolahan formal, khususnya Tahun Satu.
Tidak hairanlah jika kebanyakan ibu bapa berasa bimbang apabila anak mereka yang berusia lima atau enam tahun masih belum dapat menulis huruf dengan baik. Ada yang sudah mengenal huruf tetapi masih sukar membentuknya menggunakan pensil.
Ada juga yang boleh menyalin huruf, namun belum mampu menulis secara kendiri. Persoalannya, adakah kita terlalu cepat meminta kanak-kanak menulis huruf sedangkan mereka mungkin belum menguasai kemahiran asas yang diperlukan untuk membentuk huruf tersebut?
Sepanjang mengikuti proses pembelajaran lakaran visual spontan, saya mula menyedari aktiviti lakaran mempunyai potensi untuk membantu kanak-kanak membina kemahiran menulis.
Pengalaman menjalani latihan lakaran membuka perspektif baharu kepada saya bahawa sebelum seseorang dapat menghasilkan bentuk yang kompleks, mereka perlu terlebih dahulu menguasai bentuk-bentuk asas.
Menulis Bermula Dengan Garisan
Jika diperhatikan, setiap huruf terbentuk daripada gabungan beberapa jenis garisan. Ada huruf yang menggunakan garisan mendatar dan menegak, manakala huruf lain memerlukan garisan menyerong dan melengkung.
Sebagai contoh, huruf E, F, H, I, L dan T terbentuk daripada gabungan garisan mendatar dan menegak. Huruf A, K, M, N, V, W, X, Y dan Z pula melibatkan garisan menyerong. Sementara itu, huruf seperti B, C, D, G, O, P dan Q memerlukan penguasaan bentuk melengkung.
Semasa mengikuti kelas lakaran visual spontan, kami dilatih menghasilkan pelbagai jenis garisan melalui latihan berulang. Daripada pengalaman tersebut, saya mula melihat latihan yang sama boleh disesuaikan untuk kanak-kanak prasekolah. Malah, buku Profit from Visual turut menyediakan contoh pelbagai jenis garisan yang boleh dijadikan panduan dalam aktiviti latihan lakaran.
Sebelum Menulis, Mari Berkarya Dengan Garisan
Saya mencadangkan supaya kanak-kanak tidak terus diminta membentuk huruf sebaik sahaja diperkenalkan kepada latihan garisan. Sebaliknya, berikan mereka peluang menghasilkan karya seni terlebih dahulu.
Sebagai permulaan, guru boleh memperkenalkan dua jenis garisan yang mudah, iaitu garisan menegak dan mendatar. Sediakan sekeping kertas A4 dan pensil warna. Minta kanak-kanak menghasilkan pelbagai garisan dengan menggabungkan kedua-dua bentuk tersebut.
Daripada aktiviti mudah ini, mereka boleh menghasilkan enam karya seni yang menarik.
Antaranya ialah Dunia Garisan Berwarna, iaitu menghasilkan garisan menegak dan mendatar yang bersilang sehingga membentuk pelbagai petak. Kanak-kanak boleh menggunakan warna berbeza bagi setiap garisan.
Aktiviti kedua ialah Bandar Impian Saya. Kanak-kanak menghasilkan bangunan menggunakan garisan menegak, manakala garisan mendatar digunakan untuk membentuk tingkap dan pintu.
Seterusnya, Pelangi Garisan boleh dihasilkan dengan menyusun garisan mendatar dalam beberapa barisan dan menambah garisan menegak yang bersilang. Ruang yang terhasil boleh diwarnakan mengikut kreativiti masing-masing.
Aktiviti keempat ialah Tingkap Pelbagai Warna, yang menggunakan gabungan garisan menegak dan mendatar untuk menghasilkan petak dengan pelbagai saiz. Kelima, Pagar Warna-warni, iaitu menghasilkan garisan menegak secara berulang dan menyambungkannya menggunakan garisan mendatar.
Akhir sekali, aktiviti Rumah Garisan Saya mengajak kanak-kanak menghasilkan bentuk rumah dengan menggunakan gabungan kedua-dua jenis garisan tersebut, termasuk pintu dan tingkap.
Melalui aktiviti ini, kanak-kanak bukan sahaja berpeluang menghasilkan karya kreatif, malah dapat membiasakan pergerakan tangan, mengawal panjang garisan dan mengulang pergerakan yang sama. Aktiviti ini juga memberikan pengalaman visual sebelum mereka beralih kepada latihan membentuk huruf.
Tiga Langkah Mudah Daripada Garisan Kepada Huruf
Selepas kanak-kanak mendapat pengalaman menghasilkan garisan melalui aktiviti seni, guru boleh memperkenalkan tiga langkah mudah untuk membentuk huruf besar.
Langkah pertama: Asingkan huruf.
Daripada 26 huruf besar, asingkan huruf mengikut persamaan bentuk garisan. Kumpulan pertama terdiri daripada E, F, H, I, L dan T. Kumpulan kedua ialah A, K, M, N, V, W, X, Y dan Z. Kumpulan ketiga pula terdiri daripada B, C, D, G, J, O, P, Q, R, S dan U.
Pengasingan ini membolehkan kanak-kanak mempelajari huruf daripada bentuk yang lebih mudah kepada bentuk yang lebih kompleks.
Langkah kedua: Kenal pasti bentuk garisan.
Kenal pasti jenis garisan yang diperlukan bagi setiap kumpulan. Sebagai contoh, kumpulan pertama menggunakan garisan mendatar dan menegak. Mulakan dengan latihan menghasilkan garisan pendek secara berulang. Guru boleh menyediakan lembaran kerja yang mengandungi titik-titik untuk disambungkan oleh kanak-kanak.
Langkah ketiga: Gabungkan garisan menjadi huruf.
Setelah kanak-kanak mula menguasai bentuk garisan, mereka boleh diperkenalkan kepada aktiviti menggabungkan garisan untuk menghasilkan huruf. Sebagai contoh, huruf E terbentuk daripada satu garisan menegak dan tiga garisan mendatar. Huruf F pula menggunakan satu garisan menegak dan dua garisan mendatar.
Mulakan dengan latihan menyambungkan titik mengikut bentuk huruf sebelum memberikan peluang kepada kanak-kanak membentuk huruf tanpa bantuan titik.
Membina Asas Sebelum Mengharapkan Hasil
Dalam melaksanakan aktiviti ini, kita perlu memahami bahawa setiap kanak-kanak mempunyai kadar perkembangan dan tahap penguasaan yang berbeza. Ada yang cepat menguasai bentuk garisan, manakala ada yang memerlukan lebih banyak latihan dan bimbingan.
Oleh itu, guru dan ibu bapa perlu memberikan galakan serta mengelakkan tekanan yang boleh menyebabkan kanak-kanak hilang minat untuk belajar. Kemahiran menulis bukan sekadar keupayaan memegang pensil dan menyalin huruf. Ia merupakan satu proses pembelajaran yang memerlukan latihan, koordinasi mata dan tangan serta keyakinan diri.
Mungkin selama ini kita terlalu memberi perhatian kepada hasil tulisan sehingga terlupa bahawa proses membentuk tulisan itu sendiri perlu dibina secara berperingkat. Daripada garisan terbentuklah huruf, daripada huruf bermulalah perkataan dan daripada perkataan berkembanglah kemahiran menulis.
Justeru, berikan peluang kepada anak-anak untuk meneroka garisan, bermain dengan bentuk dan menghasilkan lakaran sebelum meminta mereka menulis. Kerana asas yang kukuh hari ini akan menjadi bekalan penting untuk pembelajaran mereka pada masa hadapan.-UTUSAN
The post Lakaran spontan bantu kanak-kanak kuasai kemahiran menulis appeared first on Utusan Malaysia.






