YTL Power berpotensi catat pemulihan pendapatan pada 4QFY25 disokong sumbangan Wessex Water - penganalisis

26/05/2025 - 10:55
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 26 Mei - YTL Power International Bhd berpotensi mencatatkan pemulihan pendapatan pada suku keempat tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 (4QFY25), kata penganalisis.
Pemulihan itu akan disokong peningkatan sumbangan daripada Wessex Water di Britain berikutan kenaikan tarif air sebanyak 21% di sana.
Keputusan bagi 9MFY25 bagi YTL Power International yang diumumkan baru-baru ini adalah di bawah jangkaan iaitu 72% daripada unjuran yang ditetapkan CGS International dan konsensus pasaran.
Walaupun peningkatan sumbangan daripada Wessex Water dijangka pada suku akan datang, CGS International Research menyemak semula unjuran keuntungan bersih kumpulan untuk tahun ini dengan pengurangan sebanyak 3% berikutan jangkaan penurunan jumlah jualan daripada YTL PowerSeraya Pte Ltd di Singapura.
Sementara itu, keputusan kewangan suku ketiga YTL Power juga berada di bawah jangkaan Maybank Investment Bank (Maybank IB) berikutan penurunan lebih ketara dalam pendapatan PowerSeraya.
Firma penyelidikan tersebut terus melihat imbangan risiko-ganjaran YTL Power secara positif disebabkan oleh penilaian yang tidak terlalu tinggi serta potensi pemangkin penilaian semula pada masa hadapan.
“Kami mengekalkan unjuran pendapatan kumpulan. Harga sasaran berasaskan jumlah bahagian kami diselaraskan kepada RM4.18 sesaham,” kata RHB Research.
Sementara itu, TA Securities mengurangkan unjuran pendapatan kumpulan tersebut sebanyak enam peratus untuk FY25, diikuti 13 peratus pula untuk FY26 dan seterusnya kira-kira 12 peratus untuk FY27.
"Unjuran disemak kami turut mengambil kira jangkaan lebih konservatif untuk PowerSeraya memandangkan potensi kesan ketidaktentuan perdagangan luar terhadap ekonomi Singapura," katanya yang juga menurunkan TP kepada RM4.02 daripada RM5.77 sebelumnya.
Dalam pada itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menjangkakan keuntungan S$120 juta (RM395.7 juta) selepas cukai dan kepentingan minoriti yang dilaporkan untuk suku terbaharu daripada PowerSeraya akan berterusan pada tempoh suku akan datang.
Turbin gas kitaran gabungan (CCGT) 600 megawatt (MW) dijangka mula beroperasi pada penghujung 2028 manakala projek solar berskala besar (LSS) 500MW yang dirancang YTL Power kekal bergantung pada kadar pengambilan pusat data di Johor.
HLIB mengekalkan saranan "beli" dengan TP tidak berubah sebanyak RM5.60, atau RM4.16 selepas pencairan daripada waran bonus, berdasarkan penilaian YTL Power sebagai menarik, dan diniagakan pada harga hadapan pendapatan sembilan hingga 10 kali ganda. - DagangNews.com
standard
