RHB Research naikkan unjuran pendapatan Duopharma 14% pada 2025 disokong penyusutan nilai dolar AS

16/05/2025 - 09:40
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 16 Mei - RHB Research menyemak naik unjuran pendapatan Duopharma Biotech Bhd sebanyak 14% bagi 2025 disokong penyusutan nilai dolar Amerika Syarikat dan peningkatan jualan dalam sektor awam.
Katanya, margin bersih kekal antara 10% hingga 11% pada 2025 berbanding 9% pada 2024.
Firma penyelidikan itu terus menyukai prospek kumpulan, dipacu kejelasan pendapatan yang lebih baik dan permintaan pengguna yang berterusan terhadap produk farmaseutikal.
"Prospek Duopharma dilihat akan terus disokong oleh surat tawaran tambahan baru-baru ini daripada Kementerian Kesihatan bagi membekalkan produk farmaseutikal di bawah kontrak Senarai Pembelian Produk Diluluskan (APPL), yang kini merangkumi 100 jenis produk (dengan anggaran gabungan nilai kontrak sebanyak RM684 juta)," katanya dalam satu nota kajian.
Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan pertumbuhan kukuh pendapatan dan keuntungan bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 (1QFY25) dengan lonjakan hasil sebanyak 36.2% kepada RM262.74 juta berbanding RM192.97 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Pertumbuhan hasil itu didorong prestasi baik merentasi semua sektor perniagaan, termasuk peningkatan ketara dalam bekalan insulin berikutan pemulihan rantaian bekalan serta penjualan yang meningkat kepada sektor awam.
Selain itu, normalisasi harga bahan aktif farmaseutikal (API) ke paras sebelum pandemik turut menyumbang kepada peningkatan keuntungan syarikat sepanjang suku pertama ini.
RHB Research berkata, kontrak sedia ada kumpulan bagi pembekalan dan pengedaran insulin manusia telah dijadualkan untuk diperbaharui dan dimaklumkan, pihak pengurusan kini berada di peringkat rundingan kontrak bersama Kementerian Kesihatan.
Katanya, terdapat kebimbangan mengenai kemasukan pesaing baharu yang turut serta dalam tender, walaupun perkembangan itu masih belum muktamad tetapi dipercayai kemasukan syarikat baharu selari dengan hasrat Kementerian Kesihatan untuk mempelbagaikan proses perolehan.
"Sekiranya kementerian memutuskan untuk membahagikan kontrak tersebut secara sama rata antara Duopharma dan pesaingnya, kami menjangkakan potensi impak kepada pendapatan sekitar 5% – berdasarkan unjuran terkini pendapatan FY25-FY26 dengan andaian margin bersih sebanyak 10%," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM1.50 sesaham. - DagangNews.com
standard


