
PETALING JAYA: YTL Power International Berhad (YTL Power) menerusi anak syarikatnya, SIPP Power Sdn. Bhd. menjalin kerjasama strategik bersama anak syarikat JLand Group, JLG Technopark Sdn. Bhd.
Kerjasama itu bagi cadangan pembangunan kampus pusat data berskala gigawatt baharu di Sedenak Tech Park West (STeP West), Johor.
Menerusi perjanjian berkenaan, SIPP Power akan mengambil alih tanah seluas kira-kira 58.67 hektar di STeP West.
Syarikat turut mempunyai pilihan untuk menambah sehingga 161.87 hektar lagi bagi perluasan masa depan, sekali gus berpotensi meningkatkan saiz keseluruhan kampus kepada 220.55 hektar.
Pengarah Urusan Kumpulan JLand Group, Datuk Sr. Akmal Ahmad berkata, kehadiran YTL Power di STeP West membawa pelaburan infrastruktur digital yang signifikan serta memperkukuh ekosistem merentasi sektor tenaga, utiliti dan teknologi.
“Kami berharap YTL Power dapat menyumbang kepakaran dan rangkaian mereka dalam usaha kami membina platform yang menarik pelaburan pelengkap, mencetuskan peluang baharu serta memperkukuh kedudukan Johor dalam ekonomi digital rantau ini,” katanya dalam kenyataan.
Kampus di Sedenak itu bakal melengkapi Taman Pusat Data Hijau YTL sedia ada di Kulai yang mempunyai kapasiti dirancang sehingga 1.2 gigawatt (GW).
Sementara itu, Pengarah Urusan YTL Power, Datuk Seri Yeoh Seok Hong berkata, penubuhan kampus baharu itu merupakan langkah perluasan penting bagi platform infrastruktur digital syarikat di Johor dan rantau ini.
“Bersama kampus Kulai yang sedang diperluaskan, kampus Sedenak akan terus memperkukuh kedudukan Johor sebagai pusat rantau utama bagi kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan dan inovasi digital,” katanya.
Terletak di dalam kawasan Ibrahim Technopolis (IBTEC), pembangunan STeP West menandakan fasa pertumbuhan seterusnya bagi menyokong pelaburan berskala besar dalam bidang pusat data dan AI.
Pembangunan itu dijangka menyokong penyediaan pekerjaan berkemahiran tinggi merangkumi bidang pembinaan, kejuruteraan, teknologi dan operasi pusat data, di samping menjana aktiviti ekonomi dalam rantai bekalan berkaitan. –UTUSAN
The post YTL Power, JLand bina kampus pusat data berskala gigawatt di Johor appeared first on Utusan Malaysia.

