hamden19/08/2026 - 17:31 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 19 Ogos - YTL Power International Bhd menerusi anak syarikatnya SIPP Power Sdn Bhd akan bekerjasama dengan JLand Group bagi membangunkan kampus pusat data berskala gigawatt di Sedenak Tech Park West (STeP West), Johor.
Kerjasama strategik itu melibatkan pengambilalihan kira-kira 145 ekar tanah dalam STeP West oleh SIPP Power, dengan pilihan untuk memperoleh sehingga 400 ekar tambahan bagi peluasan pada masa depan, yang berpotensi menjadikan keluasan kampus sekitar 545 ekar.
Cadangan pembangunan itu akan memperluaskan dengan ketara jejak infrastruktur pusat data YTL Power di Johor, selain mengukuhkan kedudukan negeri itu sebagai antara hab pusat data utama di Asia Tenggara.
JLand Group menerusi anak syarikatnya JLG Technopark Sdn Bhd merupakan pemaju induk Ibrahim Technopolis (IBTEC).
Kerjasama itu menggabungkan pengalaman YTL Power dalam membangunkan serta mengendalikan infrastruktur digital berskala besar dengan peranan JLand Group dalam membangunkan ekosistem IBTEC bagi industri digital dan teknologi generasi akan datang.
STeP West merupakan fasa pertumbuhan seterusnya selepas pembangunan STeP East dan mempunyai skala yang mampu menyokong pelaburan besar dalam pusat data serta kecerdasan buatan (AI).
Kampus Sedenak itu akan melengkapi YTL Green Data Center Park di Kulai, yang dirancang mempunyai kapasiti sehingga 1.2 gigawatt (GW).
Gabungan kedua-dua kampus berkenaan akan memberikan YTL Power skala dan fleksibiliti untuk memenuhi permintaan serantau yang semakin meningkat bagi pengkomputeran awan, AI serta perkhidmatan digital yang memerlukan penggunaan tenaga tinggi.
Pengarah Urusan Kumpulan JLand Group, Datuk Sr. Akmal Ahmad, berkata kehadiran YTL Power dalam ekosistem IBTEC akan membawa pelaburan infrastruktur digital yang signifikan serta mengukuhkan ekosistem merangkumi tenaga, utiliti, teknologi dan industri sokongan.
Beliau berkata kerjasama itu turut berpotensi menarik pelaburan pelengkap, mewujudkan peluang baharu serta mengukuhkan kedudukan Johor dalam ekonomi digital serantau.
Sementara itu, Pengarah Urusan YTL Power International Bhd, Datuk Seri Yeoh Seok Hong, berkata penubuhan kampus berskala gigawatt di Sedenak merupakan peluasan penting platform infrastruktur digital kumpulan di Johor dan rantau ini.
“Bersama-sama dengan kampus Kulai yang terus berkembang, Sedenak akan mengukuhkan lagi kedudukan Johor sebagai pusat serantau utama bagi kecerdasan buatan, pengkomputeran awan dan inovasi digital,” katanya. - DagangNews.com





