
Dengan antusias yang sangat tebal meski datang dari sebuah negara ‘kecil’, pemuzik wanita dengan nama Yunalis Zarai ini sedikit pun tidak gentar membawa karya dan menambah ilmu di benua lain di dunia.
Setelah beberapa tahun ternyata hasil yang dituai manis sekali. Yunalis atau dikenali dengan nama pentas Yuna bukan sahaja menembusi pasaran lewat kolaborasi bersama figura-figura tersohor seperti Usher dan Jay Park, namun yang penting bagaimana karya miliknya diterima baik oleh pendengar di seluruh dunia.
Kejayaan demi kejayaan yang diraih dan album demi album digarap Yuna menjadikan karier seni pemenang Anugerah Juara Lagu ke-27, Terukir Di Bintang semakin bernilai.
Kini pada saat yang tepat, seiring album kelimanya Y5 dirilis, Yuna siap bertemu penggemar yang tidak pernah berhenti menyokong perjalanan karier seninya dari zaman MySpace sehingga dipinang meastro muzik David Foster untuk ikut bernaung di bawah Verve Music Group.
Dan pertemuan lewat Yuna Asia Tour ini menjadikan Hikmah Exchange, Kuching, Sarawak sebagai lokasi pertama seumpamanya yang pernah dibawakan oleh penganjur.
Yuna Asia Tour akan mencipta momen tersendiri di antara penyanyi kesayangan ramai ini dengan penggemar yang sudah lama menantikan beliau kembali ke tanah air lalu mempamerkan kredibiliti seninya.
Tidak mengikut ‘arus’ memulakan sebuah konsert besar di ibu kota Kuala Lumpur, RK LiveAsia dan Icon Entertainment sebaliknya yakin Yuna Asia Tour yang bakal dilangsungkan di Borneo, terutama Kuching, Sarawak akan sukses.

