
PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini menetapkan 4 November bagi sebutan semula kes membabitkan rayuan pendakwaan terhadap pembebasan bekas pembantu penyelidik ahli politik, Muhammed Yusoff Rawther atas dua pertuduhan.
Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azman Abdullah yang bersidang bersama dua lagi hakim Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan K.Muniandy menetapkan tarikh itu selepas mendengar makluman kedua-dua belah pihak mengenai perkembangan terbaharu rayuan pendakwaan tersebut.
“Mahkamah menetapkan 4 November ini bagi sebutan kes,” kata Hakim Azman.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Asnawi Abu Hanipah selaku perayu memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan dalam usaha untuk mendapatkan pengesahan berhubung keberadaan Muhammed Yusoff di Manchester, United Kingdom.
Ia yang mana satu notis permintaan telah dihantar pada 22 Julai lalu ke Unit Biro Pusat Nasional (NCB) dan Polis Antarabangsa (Interpol) di Manchester.
Bagaimanapun, katanya sehingga kini maklumat mengenai keberadaan responden serta usaha menyerahkan notis kepadanya masih belum dapat disahkan.
“Pihak NCB Interpol Manchester telah dimaklumkan dan sedang mengumpul maklumat berkenaan, justeru (pendakwaan) kami memohon mahkamah menetapkan satu lagi tarikh baharu bagi sebutan,” kata Mohd. Asnawi.
Dalam prosiding sama, beliau turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa Seksyen 314 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) tidak secara khusus menetapkan kehadiran secara fizikal dan berpendapat peruntukan itu belum terpakai sekiranya responden masih bersedia untuk hadir melalui kaedah lain.
Mendengar perkara itu, Hakim Datuk Azman menegaskan bahawa kehadiran (responden) adalah penting khususnya dalam kes jenayah bagi memastikan apa-apa keputusan atau perintah yang dikeluarkan Mahkamah Rayuan dapat dilaksanakan.
Sementara itu, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Muhammed Yusoff berkata anak guamnya bersedia untuk meneruskan pendengaran rayuan menerusi Zoom.
Pada prosiding sebelum ini, Muhammad Rafique memaklumkan anak guamnya berada di UK sejak Jun tahun lepas, selepas beliau memohon suaka hak asasi manusia.
Terdahulu pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 12 Jun tahun lalu yang melepas dan membebaskan Muhammed Yusoff tanpa dipanggil membela diri daripada tuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pistol tiruan, dua tahun lalu.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.
Pada 12 September 2024, Muhammed Yusoff didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas tuduhan mengedar kanabis seberat 305 gram dalam kenderaan dinaikinya di hadapan Surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) pukul 10.15 pagi pada 6 September 2024.
Dia turut didakwa atas pertuduhan memiliki dua pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara di sini, pukul 9.25 pagi pada 6 September 2024.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Pada 12 November tahun sama, Mahkamah Majistret membenarkan kes mengedar dadah membabitkan Yusoff dipindahkan ke Mahkamah Tinggi. – KOSMO! ONLINE
The post Yusoff Rawther: Pendakwaan jejak menerusi Interpol appeared first on Kosmo Digital.






