
PUTRAJAYA: Seorang bekas pengarah syarikat pelancongan gagal dalam rayuan terakhirnya berhubung sabitan atas kesalahan menipu perunding dan mutawwif umrah bagi rombongan umrah dan perjalanan ke Mesir, 10 tahun lalu.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Azman Abdullah yang bersidang bersama-sama Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid dan Datuk Dean Wayne Daly bagaimanapun membenarkan rayuan bekas Pengarah Urusan Raudhah Mawaddah Travel & Tours Sdn. Bhd., Misbahalmunir Omar, 60, berhubung tempoh pemenjaraan.
Mahkamah meminda hukuman penjara 10 tahun kepada lima tahun dan turut memerintahkan supaya hukuman pemenjaraan itu bermula hari ini.
Pada 24 April 2024, Mahkamah Tinggi Sungai Petani mengekalkan hukuman 10 tahun penjara yang dikenakan terhadap bapa lima anak itu oleh Mahkamah Majistret Sungai Petani.
Pada 8 Ogos 2022, Majistret Arif Mohamad Shariff mendapati Misbahalmunir bersalah bagi kesemua 23 pertuduhan dan mensabitkannya dengan hukuman penjara 10 tahun yang diperintahkan berjalan secara serentak.
Mengikut fakta kes, Misbahalmunir sebagai Pengarah Urusan Raudhah Mawaddah Travel & Tours Sdn. Bhd. didakwa menipu perunding dan mutawwif umrah, Amzari Halim untuk mengutip wang daripada 202 peserta bagi rombongan umrah dan perjalanan ke Mesir membabitkan 56 transaksi berjumlah RM434,250.
Wang berkenaan dimasukkan ke akaun ahli keluarga, pekerja dan syarikat berkaitan tertuduh tanpa memaklumkan bahawa syarikatnya telah digulungkan.
Kesalahan itu dilakukan di beberapa lokasi di Kedah, Johor dan Selangor antara 2 November 2015 dan 28 Januari 2016 dengan kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Pada prosiding hari ini, Hakim Meor Hashimi ketika menyampaikan penghakiman panel berkenaan berkata, panel sebulat suara menolak rayuan selepas mendapati dapatan yang dibuat Majistret adalah betul dan berasas.
Tambahnya, panel itu turut berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan elemen penipuan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Pada khidmat kami pertuduhan-pertuduhan yang dikemukakan terhadap perayu adalah tidak cacat dan telah memberi notis yang secukupnya kepada perayu untuk membela diri.
“Oleh itu, tidak timbul pertuduhan yang cacat atau defective atau tidak mengandungi butiran jelas. Pada khidmat kami butiran pertuduhan-pertufuhan terhadap perayu adalah jelas dan lengkap serta mematuhi kehendak Seksyen 152 dan Seksyen 153 Kanun Tatacara Jenayah.
“Mengenai hukuman, setelah menimbangkan aspek kepentingan awam, faktor-faktor bandingan dan pemberatan hukuman yang dihujahkan, kami memutuskan rayuan oleh perayu mempunyai merit dan dibenarkan.
“Hukuman pemenjaraan selama 10 tahun bagi setiap pertuduhan dari tarikh sabitan (8 Ogos 2022) diketepikan dan digantikan dengan hukuman pemenjaraan selama 5 tahun bagi setiap pertuduhan bermula hari ini,” katanya.
Kes itu dikendalikan peguam, G. Ravishankar mewakili tertuduh manakala Timbalan Pendakwa Raya, Siti Rafidah Zainuddin mewakili pihak pendakwaan. – UTUSAN
The post Rayuan tipu pakej umrah ditolak, bekas pengarah dijel lima tahun appeared first on Utusan Malaysia.





