
REDA dengan ketentuan suami, Datuk Yusry Abdul Halim tidak bersamanya menjadi tetamu ALLAH sebagai duyufurrahman, Datin Lisa Surihani menganggap segala yang berlaku mempunyai hikmah tersendiri.
Pemilik nama Lisa Surihani Mohamed, 40, itu meluahkan rasa syukur apabila rayuan visa hajinya diluluskan, namun pada masa sama menerima dengan hati terbuka apabila rayuan suaminya tidak berjaya.
Menurut Lisa, mereka pada awalnya berharap dapat menunaikan ibadah haji bersama-sama tahun ini, namun percaya setiap perancangan manusia tertakluk kepada aturan terbaik ALLAH SWT.

“Barangkali keberadaan abang di rumah memang diperlukan untuk menjaga anak-anak dan membantu mengurus keluarga sepanjang ketiadaan saya selama 45 hari,” katanya menerusi perkongsian di media sosial.
Lisa turut mengakui berasa lega apabila mendapat khabar bahawa anak-anak mereka berada dalam keadaan baik oleh ahli keluarga sepanjang berada di Tanah Suci.
Dalam hantaran sama, Lisa menzahirkan rasa syukur kerana segala urusan perjalanan hajinya dipermudahkan dan menyifatkan pengalaman itu sebagai satu pengajaran besar tentang reda serta tawakal kepada ALLAH SWT.

Perkongsian penuh emosi itu turut meraih perhatian ramai netizen yang mendoakan agar ibadah hajinya dipermudahkan.
Ramai juga memuji sikap Lisa yang menerima ujian dengan penuh sangka baik kepada ALLAH.
Lisa terdahulu berlepas ke Makkah pada 7 Mei.
Untuk rekod, pelakon Manisnya Cinta di Cappadoccia itu mendirikan rumah tangga dengan berkahwin dengan Yusry pada 23 Februari 2012 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata, Yahaira Leanne, Yusof Leonne dan Yunos Laith.
