Aktivis dan penganjur Warzone World Championship (WWC), Yusuf Azmi, memohon maaf susulan kontroversi membabitkan sesi “face off” dua peserta bawah umur ketika sidang media acara itu baru-baru ini.
Menerusi video penjelasan yang dimuat naik di Facebook, beliau turut menyampaikan permohonan maaf secara khusus kepada pihak kementerian, agensi sukan, komuniti Muay Thai serta masyarakat umum, selain menjelaskan bahawa insiden tersebut adalah sekadar gimik promosi.
Yusuf mengakui gimik berkenaan tersasar dan disalah anggap hingga mencetuskan persepsi eksploitasi serta unsur buli, lebih-lebih lagi ketika masyarakat peka terhadap isu sedemikian.
Baca juga:
Gimik keterlaluan, janji tidak ulang
Yusuf berkata, pihaknya masih baharu dalam penganjuran acara berskala besar dan mengakui berlaku ketelanjuran ketika cuba mempromosikan program berkenaan.
“Saya di sini ingin memohon maaf sekali lagi di atas ketelanjuran dalam kita mempromosikan event… ini adalah kali pertama dan kita masih belajar,” katanya.
Beliau menegaskan tidak pernah berniat mengeksploitasi kanak-kanak dan menjelaskan aksi itu dirancang bersama jurulatih bagi memberi tumpuan kepada atlet muda, namun mengakui situasi menjadi keterlaluan.
Yusuf turut berjanji untuk memastikan tiada lagi kandungan promosi berbentuk provokatif melibatkan peserta bawah umur, termasuk aktiviti “trash talk”.
Terima teguran & komited perbaiki SOP
Yusuf berkata beliau menerima semua teguran, termasuk daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pendidikan (KPM) serta komuniti Muay Thai.
Beliau memberi jaminan bahawa SOP keselamatan akan diperkemas bagi melindungi peserta bawah umur, selain memastikan penganjuran mematuhi garis panduan pihak berkaitan.
Dalam kenyataan rasmi bertulis, Warzone menegaskan komitmen untuk:
• Mematuhi garis panduan & syarat KBS
• Memperketat SOP keselamatan atlet bawah umur
• Meningkatkan pendidikan, disiplin & profesionalisme atlet
• Mengelakkan provokasi membabitkan peserta bawah umur
“Tiada alasan. Kami akan perbaiki,” menurut kenyataan itu.
Baca juga:
Harap ruang perbaiki & tingkatkan sukan
Yusuf menjelaskan tujuan utamanya ialah mengangkat sukan tempur negara serta menyediakan platform lebih besar untuk atlet, bukan mencetuskan kontroversi.
Beliau turut berterima kasih kepada Presiden Persatuan Muay Thai Malaysia, Majlis Sukan Negara, serta atlet seperti Alif Raqib, Rifdean Masdor dan Johan Ghazali atas tunjuk ajar dan sokongan.
“Saya mohon agar kita dapat lebih mengangkat combat sport ke arah lebih baik,” katanya, sambil menyeru semua pihak memberi ruang untuk Warzone memperbaiki kekurangan yang berlaku.
The post Yusuf Azmi mohon maaf, akui gimik tersasar babit peserta bawah umur appeared first on The Reporter.


